Categories
SELANGOR

Perniagaan Maya Untuk Peserta Mimbar

SHAH ALAM 8 DIS : Program Mikrokredit Miskin Bandar Selangor (Mimbar) akan mewujudkan peluang bercirikan perniagaan maya(internet) di kalangan usahawan Mimbar dalam usaha mempertingkatkan pendapatan peserta.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata perniagaan maya ini merupakan antara langkah terbaru Mimbar dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing menerusi penjanaan perniagaan melalui internet di negeri ini.

“Perniagaan maya ini bukan satu perkara yang asing dalam dunia perniagaan sekarang ini.

“Malah, ia juga boleh menonjolkan produk barangan yang diusahakan oleh penduduk negeri ini bagi menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Peserta Mimbar peringkat Dun Batu Tiga di Hotel De Palma, di sini.

Sehubungan itu, katanya peserta Mimbar akan diberikan kursus pembelajaran komputer terlebih dahulu secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri sudah menyediakan pusat siber rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, jadi pada permulaanya, mereka hendaklah mendaftar di Pusat Khidmat DUN Batu Tiga.

“Seterusnya, kita akan memanggil mereka secara berperingkat untuk menyertai kursus itu yang akan diadakan setiap minggu.

“Kita mahu mereka giat mempromosi produk barangan yang dikeluarkan oleh usahawan di negeri ini ke luar dari pasaran tempatan dan juga ke luar negara,” katanya.

Setakat ini, lebih RM10 juta peruntukkan disalurkan kepada program terbabit manakala seramai 5,426 orang layak memohon pinjaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published.