Categories
NASIONAL

Reputasi Polis Tercalar Jika Lambat Ambil Tindakan Serangan Ceramah Gombak

SHAH ALAM, 5 DIS : Pemimpin Pakatan Rakyat mendesak agar polis berlaku adil dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang menyerang ceramah PR di Batu 8 ? Gombak semalam yang menyebabkan lima orang tercedera.

Pemimpin Pas dan PKR berkata kegagalan polis untuk bertindak dengan tegas dan segera terhadap individu yang disyaki akan mencemar reputasi polis.

Lebih buruk lagi, kegagalan untuk mengambil tindakan akan memberi gambaran bahawa polis bersekongkol dengan individu-individu tersebut.

Penyelaras DUN Gombak Setia, Salehuddin Nasir berkata, polis hanya bertindak setelah serangan secara bertubi-tubi dilakukan hingga mencederakan orang ramai, sedangkan polis sedia maklum mengenai ceramah itu beberapa hari sebelumnya.

Beliau mendakwa serangan tersebut diketuai oleh pemimpin Pemuda Umno Gombak dan melibatkan ahli Umno Gombak, Wanita Umno Gombak dan anggota NGO.

Menurutnya, ekoran insiden itu, dianggarkan lebih lima individu mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu dan tangan akibat terkena objek keras, malah khemah juga musnah teruk.

“Kita telah maklumkan pada pihak polis dan sehari sebelum ceramah itu berlangsung, ada anggota polis daerah Gombak yang datang melawat menunjukkan bahawa mereka tahu ada program pada malam itu.

“Saya sendiri telah serahkan surat melalui email kepada Ketua Polis Daerah memberitahu maklumat berhubung ceramah itu,? kata Salehuddin apabila dihubungi TVSelangor.

Keadaan di ceramah di Dataran Sharuddin di Batu 8 ? Gombak semalam menjadi kecoh apabila pergaduhan berlaku di antara sekumpulan ahli Umno dan penyokong PR.

Salehuddin mendakwa seorang penyokong PR ditikam dengan Kerambit manakala batu bata dilemparkan ke arah peserta ceramah tersebut yang di dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat.

Ceramah itu menampilkan Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali, bekas Adun Ayer Molek, Melaka Datuk Tamrin Ghafar dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari.

Manakala Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata sekiranya polis gagal mengambil tindakan ia boleh mengalakkan orang lain untuk mencetuskan serangan yang serupa.

“Tidak mustahil keberanian mereka ini berpunca daripada sikap pihak polis juga yang seolah-olah mereka ini kebal dari sebarang tindakan undang-undang.

“Kejadian provokasi dan keganasan yang dicetuskan juga seolah-olah memberi signal ?isyarat? bahawa mereka ini akan melakukan tindakan lebih ganas di luar keterbatasan yang dibenarkan,” kata Shuhaimi lagi.

Insiden serangan ke atas ceramah PR ini bukan yang pertama. Sebelum ini, sebuah ceramah Anwar di Lembah Pantai turut dibaling dengan batu sehingga seorang hadirin tercedera di kepala.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa pemimpin PR berceramah ke seluruh negara juga telah diserang beberapa kali di Kota Baru dan Melaka dengan disimbah dengan cat dan dibaling batu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.