Categories
SELANGOR

Rodziah: Berusaha Hapus Halangan Terhadap OKU

SHAH ALAM 4 DIS : Orang Kelainan Upaya (OKU) wajar diberi pengiktirafan dengan memberi peluang mereka memainkan peranan dalam arus pembangunan negara.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, peranan itu hanya dapat dilaksanakan jika halangan berbentuk fizikal atau non-fizikal dapat dihapuskan.

“Kerajaan Negeri sedang berusaha melaksanakan perubahan prasarana secara berperingkat untuk menghapuskan rintangan-rintangan yang ada dan juga meningkatkan usahanya dalam membantu warga OKU untuk lebih berdaya saing.

“Segala usaha dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri perlu disambut pimpinan masyarakat di semua peringkat termasuk badan-badan korporat dan anak syarikat Kerajaan Negeri, Adun, Ahli Majlis, ketua penduduk dan ketua masyarakat ke arah mewujudkan masyarakat yang  prihatin dan peka kepada warga OKU,” katanya dalam kenyataan.

Hari OKU Sedunia disambut pada 3 Disember setiap tahun bermula 1994 sejajar dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Orang Kelainan Upaya Antarabangsa dengan tema sambutan tahun ini ‘Removing Barriers to Creatre an Inclusive Accessible Society for All’.

Menurutnya, segala halangan dan rintangan dihadapi warga OKU dari pelbagai aspek perlu ditangani segera seperti pendidikan, kekeluargaan, kesihatan, pembangunan sosial, pekerjaan, sosio ekomomi dan sebagainya termasuk memberi peluang kepada mereka bagi menjawat jawatan di dalam kerajaan.

“Dengan penjawatan ini, dapatlah mereka membantu merangka dasar yang berkaitan dengan diri mereka  bagi mastikan golongan tersebut diberi hak serta medapat mendapat akses kepada kemudahan sepertimana yang lain.

“Saya menyeru semua lapisan sama ada pihak kerajaan, pemimpin dan masyarakat untuk memberikan komitmen di dalam menyediakan akses secukupnya bagi kita bersama memberdayakan warga OKU untuk terus melangkah bebas tanpa halangan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.