Selangor Naiktaraf Kemudahan OKU Di Sekolah

oku i

SHAH ALAM 25 DIS: Kerajaan Negeri Selangor kini melaksanakan 14 projek menaiktaraf sekolah yang melibatkan tujuh buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah khusus bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.

Projek menaiktaraf ini giat dilaksanakan sebagai usaha diperingkat akar umbi dengan memperbanyakkan lagi pusat pendidikan bagi golongan OKU supaya mendapat pendidikan yang sama rata dalam masyarakat.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri juga bercadang mengembangkan lagi projek menaiktaraf ini kepada sekolah-sekolah lain di masa akan datang supaya infrastruktur yang disediakan mesra OKU.

oku ii“Institusi pendidikan perlu diberikan hak sama-rata khususnya kepada golongan ini supaya mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya seterusnya dapat menjamin kehidupan dan pekerjaan di masa hadapan,” katanya ketika sesi soal jawab bersama wakil-wakil OKU di Konvensyen Dan Dialog Interaktif OKU di Dewan Jubli Perak Shah Alam.

Turut hadir selaku panel adalah Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Masturah Bajuri, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Selangor, Kama Shaffeei, Pengarah Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) Selangor, Tuan Nik Omar Nik Abdul Rahman, dan Ketua Penyelia Jururawat Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Cheoh Siew Tin.

Jelas Rodziah, Kerajaan Negeri prihatin terhadap golongan ini termasuk peluang mendapatkan rumah sendiri mesra OKU, program wanita OKU melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan insuran khairat kematian sebanyak RM2,500.

Malah katanya, program kesedaran kepada segenap masyarakat akan dianjurkan supaya dapat mengeratkan lagi hubungan golongan OKU dengan masyarakat sekeliling.

Sementara itu, golongan OKU kini diwajibkan mendaftar dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kebajikan dan bantuan dapat dirasai golongan ini.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri akan mengadakan Kempen Pendaftaran OKU peringkat negeri Selangor dan satu laman web khas dengan kerjasama agensi luar seperti JKT dan JKM akan diwujudkan untuk golongan ini.

oku iii“Sehingga tahun 2012, seramai 22,000 OKU berdaftar di negeri ini dan dipercayai masih ramai lagi OKU yang belum berdaftar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JKT Selangor, Masturah Bajuri berkata, pihaknya akan membantu mendapatkan pekerjaan bagi OKU yang berminat mendapatkan pekerjaan di sesebuah syarikat.

“Jika seseorang OKU berminat untuk mendapatkan pekerjaan di sesebuah syarikat yang berhampiran dengan rumahnya, JKT sendiri akan membantu dengan menghantarkan sendiri permohonan individu OKU terbabit ke syarikat tersebut dan kebanyakkan permohonan melalui JKT berjaya mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.