Categories
SELANGOR

SSIC Anjur Pameran Produk Berasaskan Teknologi

SHAH ALAM, 13 DIS : Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) akan menganjurkan Pameran Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor 2013 (Sitex) bermula 4 hingga 6 April 2013 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan menyediakan platform yang sesuai kepada penyelidik, saintis dan syarikat untuk mempamerkan produk terbaru mereka kepada pembeli atau pelabur berpotensi.

Ketua Pegawai Opreasi SSIC, Hasan Azhari Idris berkata, pameran perdagangan ini bakal menjadi saluran pemasaran dan rangkaian selain merangsang hubungan perniagaan di kalangan usahawan teknologi tempatan dan antarabangsa berasaskan perniagaan.

Menurutnya, ia juga akan memberi peluang kepada penyelidik untuk mengambil bahagian dalam memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pelawat melalui pembentangan yang dijadualkan di dalam dewan pameran.

“Menerusi pameran ini, SSIC dapat mempromosi Selangor sebagai pusat pertumbuhan perniagaan dan industri berasaskan pengetahuan sekaligus mengangkat negeri ini sebagai lokasi paling ideal untuk industri berkaitan teknologi.

“Selain itu, ia turut mewujudkan satu platform bagi entiti korporat untuk mempamerkan produk-produk terkini dan perkhidmatan mereka selain menjadi menjadi saluran yang sempurna untuk pemasaran, kerjasama dan perkongsian dengan organisasi lain baik tempatan mahupun antarabangsa,” katanya dalam sidang media di SSIC hari ini.

Selain pameran, Sitex turut mengadakan pertandingan lakaran, seminar kajian dan penyelidikan (R&D) dan pertandingan reka bentuk produk.

Selain daripada program berkaitan perniagaan, Hasan berkata, Sitex juga menyediakan platform untuk pelajar peringkat menengah dan universiti untuk turut serta dalam acara tersebut.

Katanya, bagi kategori reka bentuk seni bina, pelajar universiti yang terpilih akan diberi peluang untuk membentangkan reka bentuk mereka semasa pameran itu.

Sementara bagi ketagori reka bentuk produk mesra alam yang mensasarkan pelajar sekolah akan dipamerkan untuk tujuan pengadilan.

“Kita mengajak orang ramai yang berminat untuk segera mendaftar bagi menyertai pameran ini. Kepada sesiapa yang berminat boleh merujuk kepada laman web rasmi SSIC atau www.sitexselangor.com,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.