Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin: HKR112 Mesej Jelas Rakyat Untuk SPR Berlaku Adil

HKR112 Mesej Jelas Rakyat Untuk SPR1

KUALA LUMPUR 18 JAN : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof digesa supaya segera membersihkan senarai daftar pengundi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang atau bakal berdepan tindakan undang-undang.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang dihadiri ratusan ribu rakyat di negara ini pada 12 Januari lalu memberi mesej jelas kepada SPR bahawa rakyat berhak mendapat keadilan melalui sistem pilihan raya yang telus dan adil.

“Rakyat berhak mendapat keadilan kerana terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan ketelusan sistem pilihan raya di negara ini dicemari demi mempertahankan kerajaan Umno-BN untuk terus berkuasa.

“Pengerusi SPR di Indonesia sekarang berada dalam penjara kerana menipu rakyat dalam pilihan raya dan jika PR memerintah di Putrajaya, kita akan buat perkara yang sama demi keadilan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Pasca KL112 ‘Impak dan Halatuju Rakyat’ yang dianjurkan oleh Akademi Pak Sako bertempat di Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur (KLSCAH) malam tadi.

Forum berkenaan dihadiri lebih 200 orang dan disiarkan secara langsung oleh Radio Web Bangsar Utama. Antara panelis lain ialah bekas aktivis mahasiswa, Hishamuddin Rais dan penulis lirik terkenal Hasmi Hashim.

Tambah Azmin, bukti secara jelas mengenai kewujudan pengundi hantu dalam senarai daftar pengundi melalui Sistem Menang Pilihan Raya (SISMEP) yang diperkenal PKR, namun sehingga kini SPR tetap mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan yang diambil.

Baru-baru ini, ketika siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin di Sabah, beberapa pegawai tinggi di Jabatan Pendaftaran (JPN) Sabah mengakui memberikan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin yang tidak layak.

Bekas pengarah JPN Sabah, Ramli Kamarudin dan bekas ketua JPN Tamparuli, Yakup Damsah mengakui perkara itu dan menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin yang merupakan setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada warga asing semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

HKR112 Mesej Jelas Rakyat Untuk SPR2

Leave a Reply

Your email address will not be published.