Categories
NASIONAL

Himpunan Kebangkitan Rakyat Satu Lagi Ujian “Janji Ditepati”

Himpunan Kebangkitan Rakyat 02

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Himpunan Kebangkitan Rakyat pada Sabtu ini merupakan satu lagi ujian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak samada beliau betul-betul menepati janji yang dibuat semasa perhimpunan Bersih 3.0 April tahun lepas.

Pada masa itu, Najib mencadangkan kepada NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), agar perhimpunan gergasi BERSIH 3.0 diadakan di Stadium Merdeka.

Cadangan tersebut dibuat Najib bagi mengelakkan BERSIH 3.0 diadakan di Dataran Merdeka.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HKR, Mohamad Sabu berkata selain lokasinya yang startegik dan mampu memuatkan puluhan ribu hadirin, Pakatan Rakyat memilih stadium tersebut setelah mengambil kira cadangan yang pernah dibuat Najib.

“Bola sekarang berada di kaki PM, terpulang pada dia samada janji ditepati atau ‘janji dicapati’,” ujar Mohamad dalam satu wawancara dengan TVSelangor.

Himpunan yang bakal menarik kehadiran ratus ribuan peserta itu dijangka akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Setakat ini, Permodalan Nasional Berhad, syarikat yang mengurus stadium bersejarah itu masih tidak memberi kebenaran kepada PR untuk menggunakan tapak tersebut.

Ini walaupun PR telah mengemukan permohonan untuk menyewa tapak terbabit.

Pada April lepas, kira-kira 250,000 orang menyertai himpunan BERSIH 3.0 yang dibuat di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Mohamad juga berkata setakat ini pihak polis memberikan kerjasama yang baik kepada penganjur perhimpunan terbabit.

“Ikut Akta Perhimpunan yang baru, perhimpunan ini tak perlukan permit, cuma kita perlu beritahu sahaja dan polis dah pun hubungi saya dua kali dan setakat ini kerjasama pihak polis agak baik.

‘Pihak polis meminta agar surat kelulusan dari pihak pengurusan stadium dapat diserahkan kepada polis,” kata beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.