Categories
SELANGOR

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih Beroperasi Semula

MB Loji Semenyih 01

SHAH ALAM 15 JAN : Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihentikan operasinya berikutan pencemaran di sungai itu dibuka semula malam semalam.

Loji rawatan yang diurus oleh operator loji, Syarikat Konsortium Abass, terpaksa dihentikan operasinya sekitar pukul 1.30 tengah hari semalam kerana terdapat pencemaran minyak kelapa sawit.

Antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan ekoran langkah menghentikan operasi loji itu ialah Subang, Puchong dan Seri Kembangan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan kerja-kerja pembersihan minyak itu dilakukan serta merta oleh Kerajaan Negeri.

“Selepas enam jam operasi dihentikan, ia kini beroperasi seperti biasa pada jam lapan malam semalam. Kita lakukan dengan secepat mungkin kerana takut akan memberikan kesan kepada pengguna,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam.

Jelas Abdul Khalid, langkah proaktif yang diambil Kerajaan Negeri itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri kini tidak lagi bergantung kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Kerajaan Negeri boleh lakukannya, kita mahu status jelas walaupun Kerajaan Pusat masih belum memberikan kuasa untuk kita mengambil alih.

“Ia kerana kita mahu perkara ini dijelaskan secara profesional, oleh kerana itu juga Kerajaan Negeri bertindak membeli iklan di surat khabar untuk menerangkan status yang dilakukan dalam isu air ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri masih menunggu jawapan dari Kerajaan Pusat berhubung isu pengambilalihan air daripada Syabas.

“Kita masih menunggu jawapan dari Kerajaan Pusat kerana Kerajaan Pusat mempunyai ‘golden share’ dalam syarikat itu,” katanya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan, bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menghalang Kerajaan Negeri untuk mengambil alih syarikat konsesi air itu kerana Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang ekuiti dalam syarikat Syabas kecuali ?golden share? untuk membuat pemantauan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.