MPSJ Lancar ‘Gerbang Perkhidmatan’ Mudahkan Pelanggan

MPSJ Lancar gemilang perkhidmatan

SUBANG JAYA 15 JAN: Bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatannya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan Gerbang Perkhidmatan MPSJ yang menyediakan perkhidmatan baru seperti Call Centre, Kaunter One Stop Centre (OSC), Kaunter InC2 serta pelbagai lagi perkhidmatan lain pada tahun ini.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, perkhidmatan yang diwujudkan di MPSJ merupakan yang pertama di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

“Matlamat utamanya adalah bagi memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang disampaikan serta memudahkan pelanggan menyalurkan sebarang aduan dan permasalahan serta mengemukakan cadangan atau sebarang urusan berkaitan pembayaran bil-bil MPSJ,” katanya di Majlis Perasmian Gerbang Perkhidmatan MPSJ di Dewan Kenangan, MPSJ di sini.

Majlis dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Dalam pada itu, perkhidmatan Call Centre ini menyediakan perkhidmatan pengurusan aduan dan pertanyaan dan akan menjadi pusat pengumpulan dan pengedaran aduan serta penyaluran semua informasi berkaitan MPSJ tanpa perlu disambungkan ke jabatan-jabatan lain.

Manakala perkhidmatan kaunter OSC pula disediakan untuk keperluan perkhidmatan teknikal seperti urusan permohonan kebenaran merancang dan pemajuan tanah, kelulusan pelan bangunan serta kelulusan tambahan bagi pengubahsuaian kediaman.

Dengan adanya perkhidmatan ini, pelanggan tidak perlu bergerak dari satu jabatan ke satu jabatan teknikal untuk sesuatu permohonan kerana semuanya boleh diselesaikan di bawah satu kaunter OSC.

Selain itu, Kaunter InC2 pula merupakan kaunter perkhidmatan utama MPSJ yang dipertingkatkan lagi seperti dengan hanya satu nombor giliran, segala urusan dan transaksi boleh diselesaikan di bawah satu kaunter pada satu-satu masa tanpa perlu bergerak ke kaunter atau ke jabatan lain.

Asmawi berkata, semua urusan berkaitan cukai taksiran, perlesenan, bayaran kompaun, permohonan lesen anjing serta bayaran bil dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.