Pemilik Lori Dakwa Pemeriksaan Puspakom Meragukan

puspakom

SHAH ALAM 2 JAN : Sebuah syarikat anak milik DRB-HICOM, Puspakom Sdn Bhd diminta bertanggungjawab memberikan penjelasan mengenai aduan pemilik lori berkaitan kakitangan pemeriksaan Puspakom dan peralatan ujian kenderaan yang meragukan.

Seorang pengadu, Murugan Rajagobal, 39, mempersoalkan ketidakselarasan ujian yang dilakukan oleh kakitangan Puspakom cawangan Padang Jawa, Klang terhadap kenderaan miliknya.

Beliau mendakwa lorinya gagal ujian penjajaran Puspakom pada percubaan pertama namun diluluskan pada pemeriksaaan kedua tanpa sebab yang munasabah.

Katanya, beliau memeriksa dan menukar alat ganti lori tersebut di bengkel sehari sebelum menjalani pemeriksaan di Puspakom.

“Ujian itu adalah untuk memeriksa ‘alignment’ dan saya masih gagal walaupun diperiksa di bengkel sehari sebelumnya.

“Apabila gagal, saya berjumpa dengan penyelia dan menyertakan bukti penukaran alat dan resit, ujian kedua saya diluluskan hanya dalam tempoh sejam tetapi saya harus membayar kos tambahan sebanyak RM25,” katanya ketika ditemui di pejabat TV Selangor.

Dakwanya, laporan serta dokumen yang dikeluarkan Puspakom turut meragukan kerana didakwa tidak selari serta sewenang-wenangnya boleh diubah.

“Dokumen melalui ujian pertama bernombor siri A 3073803 dan dokumen ujian kedua bernombor 0 3074084, sepatutnya dokumen tersebut mempunyai angka yang sama kerana ia melibatkan kenderaan sama yang hanya melalui pemeriksaan kedua,” dakwanya sambil menyatakan dua laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Klang pada Oktober lalu.

Sehubungan itu, beliau mengajukan permasalahan ini kepada Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Muhammad Shukor Ismail dipetik sebagai berkata, Murugan seharusnya memberikan lebih maklumat mengenai permasalahan itu kepada Puspakom untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Murugan turut mendakwa mengalami pengalaman yang sama pada bulan April lalu apabila lori miliknya diarahkan oleh pegawai Puspakom supaya menanggalkan filem penapis cahaya kerana didakwa kenderaan perdagangan tidak boleh menggunakannya.

Katanya lagi, ujian tersebut akan digagalkan jika beliau tidak mengikuti arahan tersebut.

Kemudiannya, beliau berjumpa dengan Pengurus Besar Puspakom Padang Jawa bagi mengajukan perkara itu dan jawapan yang diberikan pengurus terbabit adalah kenderaan perdagangan boleh menggunakan filem penapis cahaya dengan peratus yang dibenarkan.

“Pengurus tersebut bertanya kepada pegawainya siapa yang memberitahu kenderaan perdagangan tidak boleh pasang filem penapis, jawab pegawai tersebut ialah “semua orang cakap begitu”,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik penyaman udara.

Selain itu, Murugan turut mendakwa bahawa ada beberapa orang pegawai Puspakom berjumpanya bagi menyelesaikan perkara itu bagi mengelakkan diketahui umum namun beliau bertegas untuk memberitahu umum supaya sentiasa memeriksa dokumen setelah ujian Puspakom dilakukan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.