Categories
NASIONAL

4,000 Sebulan Dalam Penggal Pertama Pentadbiran PR

Manifesto PR 2013
SHAH ALAM, 25 Feb : Pakatan Rakyat mensasarkan agar setiap keluarga di Malaysia akan membawa pulang pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM 4000 sebulan selepas penggal pertama pemerintahan di Putrajaya.

Ini dilakukan dengan menambahkan 1 juta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, memperkenalkan skim gaji minima dan bantuan kepada usahawan kecil dan sederhana untuk tingkatkan pendapatan mereka.

Sasaran tersebut terkandung di dalam manifesto PR yang bertemakan “Pakatan Harapan Rakyat” yang berteraskan empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Di bawah tunjang Ekonomi Rakyat, PR akan mengurangkan tenaga buruh asing sebanyak 1 juta berperingkat-peringkat selama lima tahun dan pekerjaan-pekerjaan tersebut akan disasarkan terhadap rakyat tempatan.

Pentadbiran PR juga akan memastikan bahawa setiap pekerja dibayar sekurang-kurangnya RM 1,100 sebulan.

Bagi memudahkan perlaksaan skala gaji minima tersebut, satu Tabung Pemudah Pelaksanaan Gaji Minima berjumlah RM 2 bilion akan diwujudkan untuk memberi insentif automasi dan geran pelaksanaan kepada syarikat yang layak.

Insentif ini akan memberi keutamaan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi tempoh yang ditetapkan.

Bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, PR akan memberi fokus utama kepada memecah monopoli dan merancakkan persaingan.

Justeru itu, PR akan menubuhkan Suruhanjaya Anti Monopoli dan merombak undang-undang sedia ada berkaitan persaingan untuk memberi lebih kuasa menghentikan amalan perniagaan yang tidak adil.

Di samping itu, Suruhanjaya Kontrak Awam turut ditubuhkan untuk menilai dan menjadi timbang tara bagi memastikan semua perjanjian di antara kerajaan dan swasta tidak berat sebelah dan merugikan rakyat.

Bagi mengembeling tenaga lepasan sekolah di dalam ekonomi, Skim Perintis Rakyat akan diperkenalkan yang menggabungkan peluang pekerjaan tetap dengan persijilan kemahiran berkala hingga ke peringkat Diploma Kemahiran.
Lima buah Universiti Teknikal juga akan ditubuhkan dalam tempoh 10 tahun untuk memberi tumpuan kepada kursus-kursus berbentuk kemahiran dan teknikal.

Selain itu, 25 buah sekolah vokasional baru akan dibina di seluruh negara dan dilengkapkan dengan kurikulum baru mengikut kehendak ekonomi semasa.

PR juga akan akan melebarkan jalur pendapatan agar kadar cukai 26 peratus kini hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,000 ke atas berbanding RM250,000 sekarang.

Ini bagi menggambarkan realiti kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat.

Bagi membela ekonomi dan kebajikan perajurit, RM500 juta akan diperuntukkan kepada Tabung Usahawan Kecil Parajurit bagi membantu bekas parajurit terlibat di dalam aktiviti ekonomi selepas tamat berkhidmat.

Caruman kerajaan ke dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga akan dinaikkan dari 15 peratus kepada 20 peratus dan Dividen Parajurit iaitu imbuhan RM 2,000 setahun kepada bekas perajurit tidak berpencen.

Bagi memberdayakan usahawan teksi, PR akan menghapuskan sistem permit teksi yang diberikan kepada syarikat tertentu untuk mengaut keuntungan dari keringat pemandu teksi.

PR juga akan melaksanakan langkah khusus untuk melonjakkan pelaburan di dalam R&D agar mencecah kadar 5 peratus dari KDNK.

Bagi menjadikan pengangkutan awam nadi ekonomi negara, PR akan mengurangkan kadar kesesakan di bandar-bandar besar sebanyak 50 peratus dengan merombak balik sistem pengangkutan awam sekarang.

Sistem tersebut di bawah PR akan menggunakan kesemua prasarana seperti MRT dan bas bagi melahirkan jaringan yang lebih baik dari sekarang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.