Categories
NASIONAL SELANGOR

Air Percuma Diteruskan, Kerajaan Negeri Diharap Ambilalih Industri Air Elak Naik Tarif

Forum Air Rakyat 01

AMPANG, 24 FEB : Sambil menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk mengambilalih industri air, penduduk di sini berharap skim pemberian 20 meter padu air percuma akan diteruskan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) kembali memerintah Selangor dalam pilihanraya akan datang.

Setelah mendengari taklimat di Forum Air di sini, mereka gusar dengan kemungkinan tarif air akan dinaikkan semula sekiranya Umno-BN kembali memerintah Selangor.

Ini kerana mengikut Perjanjian Penswastaan Air 2004, Syabas diberi kuasa untuk menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.

Kenaikkan tersebut dihalang oleh PR Selangor sejak ia mula memerintah negeri pada 2008, tahun yang sama ia memperkenalkan skim air percuma 20 meter padu.

cheah ken voon, 63Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Ampang, Cheah Ken Voon, 63, berkata, rakyat di Selangor tidak pernah merasai manfaat air percuma semasa berada di bawah pentadbiran Kerajaan Umno-BN.

Justeru katanya, forum air anjuran Kerajaan Negeri itu membuka mata ramai pihak behubung fakta sebenar dakwaan krisis air yang sering diputar belitkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Terima kasih atas usaha Kerajaan Negeri untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang krisis air yang didakwa berlaku di negeri ini.

“Secara keseluruhannya, rakyat tidak boleh menafikan bahawa kita sememangnya menerima manfaat air percuma daripada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sejak tahun 2008.

“Malah kita juga berharap pihak Syabas mahupun Kerajaan Pusat supaya tidak lagi mempolitikkan isu air dan menyerahkan operasi pengurusan air kepada Kerajaan Negeri dengan segera demi kepentingan rakyat,” katanya.

Forum Air Untuk Rakyat diadakan di Dewan Orang Ramai Bandar Baru Ampang di sini hari. Taklimat di forum tersebut diberikan oleh MP Klang Charles Santiago.

kasim zaini, 53Kasim Zaini, 53, menyifatkan usaha Kerajaan Negeri untuk mengambil alih industri perkhidmatan air di Selangor dan Lembah Klang daripada Syabas membuktikan bahawa pentadbiran PR Selangor benar-benar prihatin terhadap kepentingan rakyat.

Malah katanya, penswastaan air hanya merugikan rakyat dan memberi keuntungan besar kepada syarikat konsesi.

“Air adalah asas utama kepada rakyat. Jadi, sekiranya perkhidmatan air ini terus diswastakan, ia akan membebankan rakyat.

“Syarikat konsesi akan terus mencari keuntungan dan merugikan rakyat.

“Maka usaha Kerajaan Negeri ini untuk mengambil alih pengurusan air seharusnya disokong seratus peratus demi masa depan kita semua,” ujarnya.

Minggu lepas, Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion kepada empat syarikat untuk mengambilalih operasi rawatan dan bekalan air daripada mereka.

Syarikat itu adalah Syabas, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Leave a Reply

Your email address will not be published.