Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar Anjur Persidangan Pilihan Raya Antarabangsa Di Parlimen

parlimen malaysia+anwar copy

PETALING JAYA, 27 FEB: Satu persidangan antarabangsa mengenai Pilihan Raya Umum Ke 13 akan diadakan pada 4 dan 5 Mac nanti di Dewan Parlimen dengan tujuan mengembeling sokongan untuk pilihan raya yang bebas, adil dan reformasi demokratik.

Antara tujuh isu utama yang akan dibincangkan dalam persidangan dua hari itu nanti termasuklah menilai demokrasi pilihan raya di Malaysia dan menilai cadangan Jawatankuasa Pilihan Raya Malaysia dalam mereformasikan pilihan raya.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini, persidangan tersebut dijangka turut membincangkan lapan tuntutan gerakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) sebelum ini.

“Peserta yang dijangka mengambil bahagian adalah ahli-ahli parlimen (Dewan Rakyat dan Senat), wakil kerajaan negeri, pegawai kementerian dan agensi persekutuan, para diplomat, organisasi pemerhati pilihan raya, kesatuan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil pertubuhan media,” kata Anwar.

Beliau memberitahu antara Ahli Parlimen dari BN yang akan bertindak sebagai panelis termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Selain itu Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan juga dijangka hadir dalam persidangan yang akan dirasmikan oleh Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.

Manakala panelis antarabangsanya pula terdiri daripada Hakim Marlon Reis dari Brazil, Prof Dr Gothom Arya (Thailand), Dr Mohamad Nasir Tamara (Indonesia), Damaso G Magbual (Filipina), Mobashar Jawed Akbar (India) dan Prof Dr Clinton Fernandes (Australia).

Anwar turut menganggap pemilihan Parlimen sebagai tempat berlangsung persidangan sebagai penanda politik negara ini semakin matang.

“Ini sekali lagi adalah penting sebagai penanda bahawa politik Malaysia semakin matang kerana acara antarabangsa yang dihoskan pemimpin pembangkang bakal diadakan di Parlimen,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.