Categories
SELANGOR

Golongan Wanita Puji Program Kebajikan Kerajaan Negeri

1

SHAH ALAM 23 FEB: Golongan wanita di Selangor memberikan reaksi positif terhadap usaha Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai program khusus untuk golongan tersebut.

Antara program yang dianjurkan Kerajaan Negeri hingga kini ialah Jom Shopping kepada ibu tunggal, program kesihatan wanita, seminar bagi memberdayakan wanita serta kursus-kursus kemahiran sejak lima tahun kebelakangan ini.

2Bagi Muniaman Batmulai, 46, beliau merasakan program seperti program kesihatan wanita sangat bermanfaat kepadanya kerana beliau tidak perlu bersusah payah untuk ke hospital menjalani pemeriksaan.

“Program seperti ini lebih dekat dengan masyarakat, sebab dianjurkan di kawasan perumahan dan ia sangat memudahkan wanita seperti saya,” katanya ketika ditemui di Program Kesihatan Wanita Seksyen 19 Barat, Shah Alam di sini hari ini.

Manakala, Sakinah Ibrahim, 49, berpendapat usaha ini perlu diteruskan di masa akan datang dan mengharapkan lebih banyak program untuk wanita dapat dianjurkan.

“Kalau boleh, saya harap lebih banyak program untuk kaum wanita dapat diadakan supaya golongan ini sentiasa mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, program ini merupakan anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Batu Tiga dan Majlis Pimpinan Penduduk (MPP) Zon 7 dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Batu Tiga dan Ikram Medic Shah Alam.

Turut hadir ialah Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Haris Abu Bakar dan dihadiri kira-kira 100 golongan wanita di kawasan itu.

3Sementara itu, Rodziah di dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai program untuk wanita di masa akan datang jika diberikan mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menurutnya, golongan wanita mulai daripada remaja sehingga dewasa perlu diberikan perhatian supaya semua pihak sedar dan faham mengenai hak wanita yang seringkali dipinggirkan sebelum ini.

“Pelbagai kes seperti dera wanita, rogol dan penganiayaan dilakukan terhadap golongan seperti kita dan melalui program-program yang dianjurkan ini, saya ingin lihat supaya wanita memberdayakan dan bukan diperdayakan oleh sesetengah pihak,” katanya yang merupakan Adun Batu Tiga.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.