Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Mahu Urus Air Selangor Untuk Elak Bebankan Rakyat

MB rumah terbuka tahun baru cina 2013 01
PETALING JAYA, 18  FEB: Keuntungan keterlaluan sehingga 30 peratus yang diperolehi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam industri air tidak adil kerana ianya membebankan rakyat.

Oleh demikian, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk mengambil alih operasi Syabas demi memastikan pengguna Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat menikmati bekalan air yang cekap pada harga yang berpatutan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, Kerajaan Negeri juga bertindak tidak membenarkan kenaikan tarif air seperti yang dipersetujui Umno-BN ketika menguasai pentadbiran negeri sebelum ini.

“Bagaimana teruk Kerajaan Umno-BN sanggup mengambil kesempatan atas sumber air yang menjadi sumber keperluan rakyat,” kata Abdul Khalid ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Negeri Selangor semalam.

Akhbar Selangorkini melaporkan sebelum ini bahawa perjanjian penswastaan air 2004 memberi laluan kepada Syabas untuk menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.

Akan tetapi Kerajaan Selangor menyekat kenaikkan tarif kerana Syabas tidak menepati terma perjanjian untuk menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW), iaitu air yang hilang akibat dicuri atau bocor, kepada 19.98 peratus.

MB rumah terbuka tahun baru cina 2013 02

Kadar NRW di bawah Syabas adalah 33 peratus. Ia seumpama daripada 100 unit air terawat yang dihasilkan, Syabas hanya mampu edar 63 unit.

Sekiranya Kerajaan Negeri membenarkan kenaikkan tarif air seperti yang diminta Syabas, pengguna terpaksa membayar
RM 18.80 untuk 20 metre padu air sebulan.

Melalui skim air percuma Kerajaan Negeri, pengguna di Selangor tidak perlu membayar apa-apa untuk 20 metre padu air.

Dalam perjanjian sama, Syabas turut diberikan kenaikan tambahan 20 peratus pada 2015 dan 10 peratus lagi pada 2018 yang menyebabkan rakyat Selangor perlu membayar RM3.15 bagi setiap satu meter padu air pada 2018.

Terdahulu dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Cina Negeri Selangor tengahari tadi, Abdul Khalid menyerahkan sumbangan kepada lapan buah rumah ibadat kaum Cina di sekitar Selangor.

MB rumah terbuka tahun baru cina 2013 03Antara rumah ibadat yang menerima sumbangan Kerajaan Negeri itu termasuklah Persatuan Penganut Dewa Jenjarum, Tokong Ampang dan Hulu Langat.

Dalam majlis yang dihadiri hampir 8,000 hadirin itu, Abdul Khalid turut mengambil kesempatan menghadiahkan Ang Pow kepada kanak-kanak yang hadir.

Selain Abdul Khalid, turut memeriahkan rumah terbuka itu, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, para Exco Kerajaan Negeri dan Adun-adun Pakatan Rakyat Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.