Categories
SELANGOR

Kerajaan Persekutuan Perlu Guna Saham Emas Benarkan Selangor ambilalih Syabas

MB Pc EXCO 13FEB 2013 01

SHAH ALAM, 13 FEB: Sebagai pemegang saham emas(golden share) Kerajaan Persekutuan diminta menggunakan kuasanya bagi membolehkan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) menerima tawaran harga Kerajaan Negeri bagi mengambil alih operasi pengurusan bekalan air di Selangor.

Langkah ini sekaligus mempercepatkan penyelesaian penyusunan semula industri air demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya mereka enggan berbuat demikian, Kerajaan Negeri akan membawa Kerajaan Persekutuan ke mahkamah kerana melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wsia 2006).

Beliau menegaskan, ini bukanlah pengambil alihan biasa syarikat komersil sebaliknya melibatkan perjanjian antara tiga pihak iaitu Syabas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang pemegang sahamnya adalah rakyat.

“Urusniaga tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco.

Ketika mengulas berkaitan soal harga yang ditawarkan sama ada lebih tinggi atau rendah berbanding sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan perkara berkenaan disifatkan sensitif dan sulit.

Beliau menambah, dokumen tawaran akan dihantar kepada syarikat konsesi pada minggu depan.

Usaha pengambil alihan ini susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa Kerajaan Persekutuan tiada masalah dengan usaha Selangor untuk menstruktur semula industri tersbut.

Makluman pengambil alihan pengurusan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari dibuat melalui surat yang ditulis Kerajaan Negeri kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui.

Tempoh 14 hari tersebut bermula pada 4 Februari dan akan akan tamat minggu depan.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri akan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukakan selepas pengambilalihan perkhidmatan air ini dalam ‘Forum Air Untuk Rakyat’ yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Februari sehingga 28 Februari di seluruh negeri.

Antara jurucakap yang terlibat adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.

“Kita akan iklankan tarikh dan tempat forum air ini akan diadakan di beberapa akhbar utama untuk memudahkan rakyat merancang dan membuat persediaan awal.

“Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air sebagai platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air di Selangor dan Lembah Klang,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.