Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Manifesto PR Adalah Janji Konkrit, Bukan Impian Semata-mata

mb khalid ibrahim manifesto PR 01

SHAH ALAM 25 FEB : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim optimis bahawa dasar dan inisiatif di dalam Manifesto Pakatan Rakyat dapat direalisasikan sekiranya gabungan PKR, PAS dan DAP diberi mandat menerajui Putrajaya dalam pilihanraya akan datang.

Menteri Besar Selangor itu menyifatkan segala dasar yang digariskan dalam manifesto kali ini merupakan satu realiti dan bukannya impian semata-mata.

“Kerajaan Pakatan telah membuktikan, seperti Kerajaan Selangor yang mengamalkan pentadbiran telus dapat menzahirkan manifesto sebelum ini.

“Oleh itu, saya yakin dengan amalan yang bebas rasuah, tiada penyelewengan serta berintegriti tinggi, kita juga akan dapat realisasikan di peringkat pusat,” ujar Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksinya terhadap Manifesto PR yang diumumkan pagi tadi sewaktu Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Manifesto tersebut menawarkan beberapa dasar dan inisiatif seperti pengurangan harga minyak kenderaan, caj elektrik, air dan harga kereta.

PR juga mensasarkan agar setiap keluarga akan membawa pulang pendapatan RM 4,000 sebulan selepas penggal pertama PR memerintah di Putrajaya.

Tahap pendapatan ini akan dicapai melalui perlaksanaan skim gaji minima RM 1,100 sebulan, membuka 1 juta peluang pekerjaan baru dan melahirkan usahawan yang berjaya dengan menghapuskan monopoli di dalam sektor-sektor industri.

Bantuan juga diberi kepada suri rumah dalam bentuk caruman jaringan sosial yang harus disumbangkan suami mereka setiap bulan dan bagi warga emas lebih dari 60 tahun, satu bayaran bonus RM 1,000 setahun.

“Syabas saya ucapkan kerana manifesto ini adalah bukti bahawa Pakatan Rakyat menawarkan dasar- dasar yang menguntungkan rakyat, dan bukannya pihak-pihak tertentu.

“Dengan perlaksanaannya nanti, rakyat Malaysia pasti dapat melalui fasa baru kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” tambahnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.