Categories
SELANGOR

MB : Pelaburan Naik, Harga Tanah Akan Terus Naik

MB malam penghargaan pelaburan ssic 01
KUALA SELANGOR 25 FEB : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihati mana-mana pemilik tanah supaya tidak menjual tanah mereka ketika ini.

Abdul Khalid berkata ini kerana beliau percaya masa akan datang harga tanah akan meningkat naik berbanding masa kini ekoran Selangor terus ulung dalam sektor pelaburan.

“Kita di Selangor, menjadi johan dalam pelaburan. Negeri kita mencatatkan pelaburan tertinggi di Malaysia.

“Jadi penduduk perlu menjaga tanah mereka supaya tidak tergadai atau dijual.

?Saya percaya akan datang harga tanah akan meningkat lebih tinggi,” katanya dalam ucapannya di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Dun Ijok, di Dewan SJKC Simpang Tiga, Ijok di sini.

Hadir sama, isterinya Puan Sri Salbiah Tunut ; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.

Baru – baru ini, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2008 hingga Oktober 2012, Selangor muncul negeri tertinggi dengan jumlah sebanyak RM 48.53 bilion.

Prestasi Selangor itu adalah yang terbaik dan tertinggi berbanding Kerajaan Umno-BN sebelum ini dan ia dicapai ketika Pakatan Rakyat mentadbir mengambil alih pentadbiran Selangor.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berharap Kerajaan Negeri dapat mengambil alih industri perkhidmatan air.

Katanya, tawaran yang diberikan kepada empat syarikat konsesi itu akan menguntungkan rakyat Selangor.

“Kita ambil alih pengurusan air, kita tawarkan RM 9.65 bilion. Saham itu akan jadi milik rakyat Selangor,” katanya.

Minggu lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Syarikat terlibat adalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Holding (Splash).

Dalam majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyampaikan ‘angpow’ kepada kira-kira 1,000 tetamu yang hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published.