Categories
SELANGOR

MB: Tambahbaik Tatacara Pengurusan Tanah Di Selangor

mb-tanah

SHAH ALAM 8 FEB : Kerajaan Negeri akan mengaji dan meneliti semula dasar pembangunan serta peraturan berhubung isu-isu dasar pengurusan tanah di negeri ini bagi memastikan pengurusannya berjalan dengan lancar dan teratur dalam usaha menjaga aset negeri supaya tidak terbiar begitu sahaja sehingga merugikan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia juga perlu dilakukan sebagai usaha untuk menilai dan mengukur keberhasilan terhadap tindakan yang dikuatkuasakan sebelum ini.

“Pada masa yang sama supaya dapat dilakukan penambahbaikan terhadap kaedah tatacara pengurusan tanah seperti isu pelupusan, pemberimilikan tanah, masalah peneroka, pengenaan kadar premium tanah, nilai pembangunan kasar, pengeluaran lesen pendudukan sementara dan perampasan tanah.

“Ia juga termasuklah memberi ruang untuk merangka dasar-dasar baru bagi mengatasi pelbagai masalah dan isu tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel maklum balas isu dasar pengurusan tanah negeri Selangor bagi tahun 2008-2012 di Shah Alam Convention Center, di sini.

Hadir sama Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri (PTGS), Datuk Kamarulzaman Jamil dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata bengkel satu hari itu diadakan untuk mendapatkan pandangan, syor-syor dan komen berkaitan dengan pelaksanaan dasar pekeliling dan arahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ia juga termasuk penyelarasan dasar serta peraturan sedia ada seperti Garis Panduan Kegunaan Tanah. Sehubungan itu, kita dapat meneliti semula dasar yang sedia ada dan membuat penambahbaikan dasar yang perlu dari segi pelaksanaannya serta menilai dan menganalisa sejauh mana penguatkuasaan pekeliling PTGS,” katanya.

Bengkel yang bermula jam 7.30 pagi hingga enam petang itu disertai oleh kira-kira 500 peserta dari PBT, Ketua Kampung,Ahli Jawatankuasa Kerja Penduduk dan pegawai PTGS.

Leave a Reply

Your email address will not be published.