Categories
NASIONAL

Menifesto Rakyat : PR Lancar Perang Terhadap Umno-BN

menifesto PKR-PC

PETALING JAYA, 19 FEB: Pakatan Rakyat (PR) akan melancarkan menifesto kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekaligus mendahului Umno-BN yang sehingga kini masih gagal mengumumkan tarikh pilihan raya.

Dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’, menifesto ini dinamakan ‘Menifesto Rakyat’ menunjukkan PR sudah bersiap sedia melancarkan ‘perang’ terhadap Umno-BN dalam usaha merubah tampuk pemerintahan negara ke arah yang lebih baik.

Menifesto ini diluluskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat merupakan menifesto bersama ketiga-tiga parti yang mengandungi empat teras utama iaitu rakyat bersaudara, ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kerajaan rakyat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media berkata Menifesto Rakyat ini menggabungkan kesemua dasar yang berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan program-program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan 2013.

“Jawatankuasa Dasar dan Menifesto PR yang dipertanggungjawabkan membangunkan Menifesto Rakyat juga meniliti dan mengambil pandangan dari memorandum dan cadangan yang disampaikan terus kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk digarab di dalam menifesto.

“Selain itu pelbagai rundingan diadakan dengan banyak pihak untuk memastikan kepentingan dan kebajikan setiap rakyat dititikberatkan di dalam Menifesto Rakyat.

“Pelancaran awal menifesto ini membuktikan komitmen PR untuk memastikan kempen PRU-13 bertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa Umno-BN,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat PKR.

Pelancaran ini akan dibuat pada Isnin, 25 Februari bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula jam 9 pagi.

Jelas Rafizi lagi, proses rundingan dan kajian berlangsung selama 18 bulan bermula September 2011 dan dibentangkan sebanyak dua kali di peringkat tertinggi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Turut hadir sama dalam sidang media ini Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad selaku wakil PAS dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mewakili DAP.

Sebelum itu, PKR melancarkan ‘Institut Rakyat’ yang bakal bertindak selaku kumpulan pemikir kajian dasar yang bebas – secara kewangan dan pengurusan – yang akan melengkap dan memyediakan sudut pandang yang seimbang kepada sayap pengurusan parti.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan, institut ini akan menawarkan nasihat bebas dan saranan dasar kepada parti, seiring wawasan Malaysia yang makmur dibawah perkembangan ekonomi yang mapan dan pembangunan yang selaras dengan keharmonian sosial, alam sekitar, etnik dan keagamaan.

Pelancaran kumpulan pemikir akan diadakan Khamis, 21 Februari ini, pada jam 3 petang di Hotel Empire Subang Jaya.

Bertemakan ‘Menuju Malaysia Baru’, pelancaran ini akan menampilkan ucapan dasar dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta akan membentangkan kertas kerja pertamanya berjudul ‘Mengangkat Pendapatan Boleh Guna’ pada hari tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.