Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasaran PR Pendapatan Isi Rumah RM4,000 Bukan “Mimpi Utopia”

pic besar manifesto PR

PETALING JAYA 27 FEB : Sasaran gaji RM 4,000 sebulan untuk setiap isi rumah oleh Pakatan Rakyat mampu dicapai dengan menyelaraskan skala gaji pekerjaan di Malaysia dan mengagihkan kekayaan negara.

Ia akan dilakukan dengan melahirkan lebih peluang pekerjaan bermutu untuk rakyat Malaysia dan melaksanakan skim gaji minima RM 1,100 sebulan di dalam setiap industri.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata sasaran itu boleh dicapai di dalam masa penggal pertama pemerintahan PR sekiranya gagasan itu berjaya mengambilalih Putrajaya.

Rafizi menegaskan sasaran tersebut bukannya ‘mimpi utopia’.

“Penetapan gaji minima RM1,100 adalah penting dan utama kerana apabila berlaku peningkatan gaji maka ia akan menstruktur keseluruhan skema gaji dan itu akan mengimbangkan ketidakadilan daripada perbezaan gaji,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Pembentangan Manifesto Pakatan Rakyat yang diadakan di Ibu Pejabat PKR.

Ujarnya, dasar ekonomi PR mensasarkan apabila setiap orang dalam isu rumah mempunyai gaji sekurang-kurangnya RM 2,000 ia secara tidak langsung meningkatkan pendapatan isi rumah (suami-isteri) kepada RM4,000.

“Jika kita memastikan peluang pekerjaan yang ada dilipatgandakan dan pekerjaan yang mempunyai gaji berkualiti ia akan menambah jumlah peluang pekerjaan secara keseluruhannya,” kata Rafizi.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Manifesto PR yang dilancarkan pada 25 Februari akan menambahkan 1 juta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dengan mengurangkan tenaga kerja buruh asing secara berperingkat.

Pengurangan tenaga buruh tersebut akan dilakukan secara berperingakatan selama lima tahun dan pekerjaan-pekerjaan tersebut akan ditawarkan kepada pekerja tempatan.

Ini diikuti dengan perlaksanaan skim gaji minima RM 1,100 seorang sebulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.