Categories
SELANGOR

Tadika Angsana Bukan Dibawah Tanggungjawab MPSJ

Majlis-Perbandaran-Subang-Jaya

SHAH ALAM 7 FEB : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini menyangkal laporan bahawa pihaknya menganiaya murid-murid Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pangsapuri Angsana yang beroperasi di Balai Masyarakat USJ 1 dengan tidak menjelaskan bil air di situ.

Sebaliknya, menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Perancangan Korporat MPSJ, bil tersebut sebenarnya bukanlah berada di bawah tanggungjawab MPSJ sepertimana didakwa beberapa hari lalu.

MPSJ mengakui sebelum ini memutuskan untuk meletakkan pengurusan balai masyarakat di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Penduduk (JKP) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan balai termasuk pembayaran bil-bil utiliti melalui geran yang diperuntukkan MPSJ.

Keputusan itu juga adalah sejajar dengan dasar yang diputuskan Kerajaan Negeri pada tahun 2008 bahawa pengurusan balai masyarakat adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa balai masyarakat yang dikekalkan pengurusannnya di bawah pihak Kemas.

“Dalam kes ini, Balai Masyarakat USJ 1 di mana beroperasinya tadika Kemas Angsana dikekalkan pengurusannya di bawah Kemas termasuk urusan kesemua pembayaran bil-bil utiliti,” menurut kenyataan tersebut.

Justeru, MPSJ menafikan bahawa pihaknya sengaja tidak menjelaskan bil sehingga menyebabkan bekalan air terpaksa dipotong seterusnya mengganggu proses pembelajaran kanak-kanak di tadika tersebut.

“MPSJ juga ingin melahirkan rasa simpati dengan kejadian pemotongan bekalan air itu.

“Namun MPSJ difahamkan bil utiliti tersebut  dijelaskan pihak Kemas pada 5 Februari lalu,” jelas kenyataan itu lagi.

Media perdana sebelum ini menyalahkan MPSJ dalam isu pemotongan bekalan air di tadika dua sesi tersebut dengan mendakwa MPSJ gagal menjelaskan tunggakan bil berjumlah RM 430.16.

Ekoran tunggakan tersebut, petugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hadir pada Isnin lalu untuk melakukan pemotongan bekalan air.

Bagaimanapun, bil tersebut kemudiannya dijelaskan oleh penduduk yang prihatin dengan nasib kira-kira 100 pelajar di situ.

Leave a Reply

Your email address will not be published.