Categories
NASIONAL

Demokrasi Sebenar Pelihara Nasib Melayu-Islam

forum mahasiswa-pru 13-dean beringin gombak 01

GOMBAK, 14 MAC : Cara terbaik untuk menjamin masa depan orang Melayu adalah dengan memastikan negara melaksanakan dasar demokrasi yang sebenar, kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki.

Menurut Zuhdi, negara yang berpegang teguh pada asas demokrasi mampu melahirkan rakyat yang bebas bersuara dan menyatakan pandangan mereka mengenai pelbagai perkara yang tidak hanya terhad kepada politik.

“Dalam konteks politik, tiada satu cara untuk mendamaikan Melayu melainkan kita berdiri atas dasar demokrasi sebenar.

“Tidak kiralah Umno-BN atau Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah, yang penting mereka mempunyai peluang untuk diturunkan.

“Berapa ramai pihak yang takut untuk menyertai parti politik lain kerana bimbang anak-anak mereka tidak diberikan biasiswa.

“Sampai saya sendiri apabila ke universiti, dipesan agar jangan berpolitik,” katanya semasa Forum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) : Harapan Malaysia di Dewan Beringin, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan berlakunya rusuhan seperti di Libya dan Syria oleh rakyat sekiranya aspek demokrasi masih tidak dipraktikkan sepenuhnya di negara ini.

Justeru katanya, pertubuhan Bersih yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih seharusnya dipandang dari sudut positif kerana ia merupakan platform untuk rakyat menuntut asas demokrasi yang sebenar.

“Kewujudan Bersih bukan untuk menyokong LGBT. Saya tidak pernah dengar Datuk S.Ambiga sebut LGBT akan dilaksanakan. Kita kena fokus kepada tuntutan Bersih yang adil sebagai suatu perlatan yang penting dalam demokrasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Penganalisis politik dan Pensyarah Kanan UIAM, Dr Maszlee Malik berkata, rakyat tidak boleh bersatu atas dasar politik, sebaliknya perlu berlandaskan dasar ekonomi.

Menurutnya, akidah Melayu-Islam dilihat semakin terjejas apabila mereka dimomokkan bahawa rezeki hanya boleh diberikan oleh sesebuah parti mahupun individu tertentu.

“Rakyat ramai berpandangan bahawa sekiranya sesuatu parti yang disokong itu kalah, mereka akan kehilangan rezeki dan bakal hidup susah. Kita kena hapuskan persepsi ini.

“Tidak pernah dalam sejarah orang bersatu atas dasar politik. Malah Umno-BN sendiri berpecah belah dan Tun Mahathir adalah individu yang menyaksikan Semangat 46 dalam parti itu.

“Dalam politik orang tidak akan bersatu, tetapi kita perlu bersatu atas dasar ekonomi,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.