Categories
SELANGOR

Ilham Kapal Layar Menang Pertandingan Rekabentuk Jambatan Ketiga Klang

 

pemenang jambatan 01

SHAH ALAM 7 MAC : Rekabentuk senibina bercirikan kapal layar dan keris membawa tuah kepada syarikat Vast Consultants Sdn Bhd apabila menang tempat pertama pertandingan rekabentuk Jambatan Ketiga Klang hari ini.

Konsep rekabentuk yang unik itu bakal menjadi ikon dan mercu tanda bandar Klang menepati pilihan juri seterusnya menewaskan sembilan lagi firma perunding kejuruteraan awam tempatan lain yang turut bertanding.

Pengarahnya, Rosely Abdul Latif berkata, rekabentuk jambatan ini pada asalnya diilhamkan melalui kabel dan bentuk kapal layar ‘penisi’ yang terkenal dan diterjemahkan ke dalam tiga elemen dimensi strukturnya.

“Saya mengambil masa selama dua minggu bagi merangka idea pembinaan jambatan ini dengan mengambil kira Klang sebagai sebuah bandar diraja dan beberapa aspek lain seperti elemen keris dan kapal layar ini,” katanya.

pemenang jambatan 02Syarikat beliau berjaya memenangi RM50,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pemenang dinilai oleh Juri Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipengerusikan Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pertandingan ini diilhamkan sendiri Abdul Khalid bertujuan mendapat pelbagai idea daripada perunding kejuruteraan awam yang terkenal dan berpengalaman bagi menghasilkan rekabentuk yang mampan dan lestari.

Menurut Abdul Khalid, jambatan sepanjang 500 meter ini akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dengan menggunakan peruntukan yang disediakan melalui wang rizab simpanan negeri berjumlah RM300 juta.

“Selepas ini, akan di tender, bulan Jun (2013) baru boleh dan akan mengambil masa dua hingga ke tiga tahun untuk di siapkan,” katanya dalam sidang media di majlis itu.

Baru-baru ini, Abdul Khalid telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Ketiga tersebut di Jalan Tepi Sungai, Klang.

Sebelum ini, pembinaan jambatan tersebut telah dijanjikan Kerajaan Umno-BN pada tahun 2008 namun tidak menunaikannya walaupun Majlis Pecah Tanah Jambatan itu telah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.