Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Di Landasan Tepat Mentadbir Putrajaya

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 03

SHAH ALAM, 10 MAC: Kecemerlangan Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Selangor selepas ‘Tsunami Politik’ tahun 2008 jelas membuktikan gabungan ini berada di landasan tepat dalam membawa anjakan perubahan baru di Putrajaya.

Keadaan ini disokong dengan pencapaian konsisten kedudukan ekonomi terutama di Selangor sehingga mampu meningkatkan simpanan tunai sehingga RM2.6 bilion.

Dengan nada gembira, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perkara berkenaan di hadapan hampir 5,000 rakyat Selangor termasuk Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin menyatakan, pentadbiran dalam lima tahun mengalami perubahan. Kita bukan sahaja memberikan kebajikan, tetapi membangun dengan pengumpulan dana.

“Rizab Selangor dalam keadaan baik dari RM400 juta pada tahun 2007, menjadi RM2.6 bilion sekarang.

“PR sudah bersedia ke Putrajaya. Kita telah buktikan kita punyai pengalaman.

“Rakyat tidak rugi memilih PR,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh rakyat sempena malam kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Kerajaan Selangor.

Menurut Abdul Khalid, meskipun Kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM821 juta utuk program kebajikan rakyat, ketelusan yang diamalkan dalam pentadbiran menjadi kunci kejayaan meningkatkan hasil simpanan negeri untuk kesejahteraan seluruh warga Selangor.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk membelanjakan RM300 juta daripada rizab berkenaan untuk pembinaan Jambatan ke-3 Klang bagi menambah keselesaan warga Klang seperti yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menghargai kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan barisan Exco Selangor, Adun dan Ahli Parlimen yang sentiasa bekerja keras dalam memastikan hal ehwal rakyat Selangor terbela.

Sambutan ulangtahun ini turut dihadiri Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.