Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Tetap Mahu Najib Panggil Sidang Parlimen

johari-abdul

PETALING JAYA, 6 MAC: Pimpinan Pakatan Rakyat(PR) tetap dengan pendirian mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil satu sidang khas parlimen bagi menjawab persoalan penting dan penerangan kerajaan berhubung pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ini kerana terlalu banyak persoalan berhubung kesediaan anggota keselamatan dan kelengkapan senjata untuk mempertahankan sempadan negara.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, satu penyelesaian politik perlu difikirkan sebagai strategi jangka panjang untuk memulihkan keadaan di Sabah.

Situasi ini mungkin mengakibatkan krisis politik berlarutan meskipun tindakan ketenteraan menyelesaikan konflik ini untuk sementara waktu.

“Parlimen perlu tahu berapa jumlah sebenar penceroboh yang boleh menembusi sempadan negara dan adakah pasukan keselamatan (polis) diberikan arahan serta matlamat tugasan yang jelas semasa menjalankan operasi.

“Adakah ini berlaku kerana kegagalan perisikan dan mengapa pencerobohan ini pada awalnya tidak dianggap sebagai ancaman bersenjata atau kerajaan tersalah anggap ancaman dari gerombolan penceroboh ini?” katanya dalam satu sidang media.

Tegasnya perkara ini tidak boleh dilengahkan memandangkan parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan semua wakil rakyat berhak mendapat penerangan sepenuhnya.

Turut hadir sama dalam sidang media di Ibupejabat PKR adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Chin Tong turut menjelaskan, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertanyakan mengenai perkara ini kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz namun segala keputusan terletak di tangan Najib.

Sementara itu, Khalid Samad menjelaskan perkara ini perlu dibincangkan sebagai satu gabungan bagi mencari jalan penyelesaian kerana melibatkan isu keselamatan negara selain rakyat mendapat penjelasan sebenar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.