Categories
NASIONAL SELANGOR

Pilih Pemimpin Yang Bertanggungjawab Lindungi Wanita

Rodziah PC Brown 02

SHAH ALAM 8 MAC : Wanita digesa memainkan peranan bijak dalam memilih pemimpin demi masa depan Malaysia yang lebih selamat dan aman.

Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail menegaskan perubahan ini penting ke arah pembentukan kerajaan baru yang lebih prihatin dalam perlaksanaan dasar-dasar yang menguntungkan seluruh rakyat terutama golongan wanita.

“Kes-kes jenayah dan keganasan terhadap wanita juga masih berterusan dan pembelaan terhadap wanita masih menjadi suatu kepayahan bagi mereka,” jelas beliau dalam ucapan khas sempena Hari Wanita Sedunia 2013 hari ini.

Rodziah yang juga Adun Batu Tiga menambah, peranan yang perlu dimainkan wanita itu bukan semata-mata satu ikutan tetapi lebih kepada tanggungjawab memastikan negara bebas daripada penyelewengan, salahguna kuasa, rasuah dan pengkhianatan.

“Ukuran yang utama dalam menentukan kejayaan sesebuah pemerintahan ialah sejauh mana rasa aman dan selamat itu dapat dinikmati oleh rakyat, merangkumi aspek kebebasan bersuara, berkumpul dan sebagainya dengan syarat mengikut perlembagaan.

“Nikmat rasa selamat dan aman itu adalah asas kepada kehidupan bermasyarakat yang baik dan berkualiti di samping mewujudkan suasana yang harmoni dan hormat-menghormati di kalangan rakyat berbagai bangsa dan agama,” tegasnya.

Justeru, demi mencapai segala matlamat tersebut, beliau menyeru wanita Selangor khususnya dan wanita Malaysia amnya perlu bersatu melakukan perubahan di peringkat kepimpinan persekutuan.

“Ini kerana pemindaaan akta-akta sedia ada dan pewujudan akta-akta baru, reformasi jentera penguatkuasaan, reformasi sistem kehakiman, reformasi pengagihan adil dan saksama pendapatan dan bajet negara adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.