Categories
NASIONAL

Calon PKR Dipilih Berkemampuan Bawa Perubahan Kepada Negara

Azmin Ali Watikah PKR Selangor 01

SUBANG JAYA, 18 APRIL : Calon yang dikemukakan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13) merupakan individu yang mempunyai potensi besar membawa perubahan kepada negara.

Azmin Ali berkata, PKR mempertaruhkan 102 calon bagi kerusi Parlimen dan 162 calon bagi kerusi DUN di seluruh negara kecuali Sarawak.

Jumlah kerusi itu meliputi 64 kerusi Parlimen di Semenanjung, 21 di Sabah, 17 di Sarawak, dan bagi DUN pula pecahan mengikut kawasan akan diumumkan esok.

Menurut Azmin, calon yang dipilih merupakan agen perubahan yang dipilih berdasarkan perwatakan, penampilan dan seharusnya membuktikan bahawa PKR adalah sebuah parti yang mempunyai masa depan dalam pilihan raya kali ini.

“Mereka bukan calon-calon biasa, tetapi mereka merupakan agen perubahan, calon-calon reformasi dan sudah tentulah penampilan mereka, perwatakan mereka, tindak tanduk mereka mestilah mencerminkan bahawa Keadilan sebuah parti yang mempunyai potensi yang cukup besar,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR.

Azmin berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Keadilan di sebuah hotel di Subang Jaya di sini hari ini.

Dalam majlis itu, semua calon diberikan amanat dan surat watikah pencalonan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, masih terdapat beberapa kerusi DUN dan Parlimen yang belum dimuktamadkan kerana perbincangan dengan parti komponen Pakatan Rakyat(PR), PAS dan DAP sedang dijalankan.

“Kita akan teruskan rundingan pada petang ini dan kita akan muktamadkan pada petang ini juga untuk membolehkan calon menyiapkan kertas penamaan calon,” ujarnya yang turut mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Pada pilihan raya lalu, PKR bertanding 97 kerusi Parlimen dan 178 kerusi DUN.

Kerusi yang dimenangi di peringkat Parlimen pada 2008 lalu adalah 31 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN.

Leave a Reply

Your email address will not be published.