Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga Motosikal Lebih Murah Di Bawah Pakatan Rakyat

Rafizi SAM

PETALING JAYA, 1 APRIL : Pelaksanaan cukai eksais sedia ada ke atas semua jenis kenderaan termasuk motosikal akan dikurangkan kepada 20 peratus apabila Pakatan Rakyat(PR) mentadbir Putrajaya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, di bawah pentadbiran Umno-BN sekarang, pemilik motosikal perlu membayar duti eksais sehingga 20 peratus bagi saiz enjin bawah 150cc dan 30 peratus untuk kapasiti enjin melebihi 150cc.

“Ini bermakna bagi motosikal paling murah sekitar RM5,500 pun jumlah cukai yang dikenakan adalah RM1,334 (cukai eksais dan cukai jualan).

“Lebih membebankan apabila institusi kewangan tidak menawarkan pinjaman untuk membeli motosikal bersaiz enjin rendah kerana ia tidak mempunyai nilai pasaran kedua yang baik.

“Oleh itu, pembeli dari golongan berpendapatan rendah terpaksa meminjam dari kedai yang menjual motosikal dan menanggung kadar faedah yang tinggi sehingga mencecah 10 peratus,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, pagi tadi.

Justeru, demi menjamin keadilan kepada semua dengan memastikan golongan yang memerlukan mendapat manfaat daripada dasar yang digubal, PR memberi jaminan akan mengurangkan cukai eksais ke atas semua jenis kenderaan.

Tegasnya, cadangan yang dikaji di peringkat Jawatankuasa PR itu adalah memastikan kadar penurunan cukai eksais bagi motosikal adalah sama seperti kadar penurunan cukai eksais untuk kereta iaitu sebanyak 20 peratus.

Tambahnya, penghapusan cukai eksais ke atas motosikal tidak mempunyai kesan kewangan yang besar kepada negara kerana ia termasuk dalam perkiraan RM7 bilion cukai eksais yang akan digantikan.

“PR bersetuju untuk memperuntukkan RM2 bilion setahun (bagi tempoh 2013 hingga 2017) bagi memastikan aliran tunai negara tetap berimbang dengan penghapusan cukai eksais.

“Penghapusan cukai eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta dan motosikal dijangka membantu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat secara serta-merta tanpa mempunyai kesan kewangan yang memudaratkan kepada negara,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.