Categories
NASIONAL

Pemuda Sering ‘Kacau’ Bilik Gerakan Pelabuhan Klang

azmizam luar pc 01

PELABUHAN KLANG 27 APRIL : Bilik Gerakan Utama DUN Pelabuhan Klang sering diganggu oleh beberapa pemuda pada setiap awal pagi.

Ketuanya, Saiful Iman Sabuddin, berkata gangguan terbabit mula berlaku pada Ahad lalu.

Katanya, berikutan kejadian itu pihaknya mula berwaspada dan lebih berhati-hati.

“Sekarang ini mereka mula berani datang hampir dengan bilik gerakan, kami tidak tahu apa muslihatnya.

“Tiga hari lepas, pada jam 2.30 pagi, mereka datang di hadapan pintu bilik gerakan, masa itu mereka tidak sedar saya berada di sebalik pokok hadapan bilik gerakan.

“Disebabkan risau mereka membuat sesuatu perkara yang tidak diingini, saya menegur mereka dan mereka terus berlalu dengan motosikal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah selepas kejadian itu beliau turut terserempak dengan empat lelaki yang bertindak menurunkan bendera di hadapan bilik gerakan.

Sementara itu, Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kawalan keselamatan keluarga dan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13).

Menurutnya, dalam tempoh lima hari berkempen ini banyak berlaku kejadian yang tidak diingini di seluruh negara.

“Kita harap polis dapat mengawal dan meningkat tahap keselamatan.

“Kita juga meminta seluruh jentera parti dan AMK turut berkawal menjaga calon-calon,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan DUN Sri Andalas.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.