Categories
NASIONAL

PKR Desak Najib Benarkan Dr Pornthip Bedah Siasat Sugumaran

surendran speech mic 02

PETALING JAYA, 12 APRIL : PKR sekali lagi mendesak Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia menarik semula arahan membantah pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan menjalankan bedah siasat kedua ke atas mendiang C Sugumaran yang meninggal dunia pada 23 Januari lalu.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, desakan itu dibuat bagi membolehkan keluarga Sugumaran mengetahui punca sebenar kematian mendiang yang didakwa digari dan dikasari anggota polis dalam satu kejadian di Hulu Langat.

Menurut Surendran, keluarga mendiang tidak berpuas hati terhadap laporan bedah siasat pertama oleh hospital yang mengatakan kematian Sugumaran adalah berpunca daripada serangan jantung.

“Dr Pornthip bersetuju membuat bedah siasat kedua tetapi Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Kerajaan Thailand menghalang beliau daripada melakukannya.

“Perdana Menteri sendiri campur tangan supaya Dr Pornthip tidak dapat datang sedangkan keluarga mendiang mahukan bedah siasat kedua dijalankan.

“Ini adalah satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Mayat Sugumaran berada selama 80 hari di rumah mayat Hospital Serdang, namun sebarang siasatan mahupun pengkebumian masih tidak dapat dilakukan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Justeru, Surendran mendesak Najib dan Kerajaan Malaysia segera menyelesaikan kes ini sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan terus membantu keluarga mendiang menegakkan keadilan.

“Kita sangat kecewa kerana perkara ini membabitkan hak asasi manusia. Perdana Menteri boleh selesaikan masalah ini tetapi dia hanya berdiam diri sahaja.

“Jika kita berjaya membentuk kerajaan baru, PR akan segera memanggil Dr Pornthip kerana kita tidak mahu keluarga mendiang terus bersedih.

“Dr Pronthip mempunyai kelayakan dan tiada alasan kukuh mengapa mahu menghalang kemasukannya ke Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, terdapat beberapa saksi yang mengatakan Sugumaran, 39, dikejar oleh empat anggota polis yang kemudiannya menggari dan memukulnya sehingga mati bersama-sama lebih daripada 20 orang di Hulu Langat.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa hasil bedah siasat pertama menunjukkan mangsa mati akibat serangan jantung.

Leave a Reply

Your email address will not be published.