Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Gesa Umno-BN Janji Hormati Proses Demokrasi Sepanjang Tempoh Kempen PRU-13

pakatan putrajaya 01

SHAH ALAM, 4 APR : Pakatan Rakyat (PR) menggesa semua pihak terutamanya Umno-BN untuk sama-sama berjanji mematuhi etika kempen yang betul dan menghormati proses demokrasi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya semua pihak mematuhi piawaian pilihan raya yang ditetapkan, keselamatan dan keamanan negara dapat dipertahankan dan amalan tidak bertanggungjawab tidak dapat diatasi.

Malah tegasnya, peralihan kuasa kerajaan juga dijamin akan berlaku secara aman sekiranya PR memenangi PRU-13 nanti.

“Pakatan Rakyat sememangnya mempunyai keyakinan bahawa pasukan keselamatan akan bertindak secara profesional dan adil dalam memastikan kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan sepanjang tempoh berkempen.

“Ini adalah selaras dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan mereka oleh Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi proses demokrasi dan memastikan rakyat terus mempunyai kebebasan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk menggunakan peluang keemasan ini dengan memilih kerajaan baru yang bukan hanya berupaya memajukan negara, malah bertekad untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ujarnya, beliau yakin rakyat akan memilih kerajaan yang bertindak adil dalam semua perkara merentasi setiap lapisan masyarakat.

Malah beliau sekali lagi melanjutkan jemputan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melibatkan diri dalam perbahasan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan yang betul sebelum memilih kerajaan baru.

“Sepanjang Parlimen ke-12, Pakatan Rakyat telah membentangkan pilihan yang jelas untuk rakyat dengan tawaran blue print yang komprehensif untuk reformasi ekonomi, politik dan sosial.

“Malah keempat-empat negeri yang ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat juga mempunyai rekod yang membanggakan dari segi kemajuan ekonomi dan sosial, kebertanggungjawaban dan ketelusan.

“Kami percaya rakyat mampu menilai perubahan positif yang telah dan akan terus dibawa oleh Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.