Categories
NASIONAL SELANGOR

SPR : “Boleh Pakai Kereta Kerajaan Sehingga 20 April”

SPR abdul aziz thumbs 01

PUTRAJAYA, 10 APR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kenderaan kerajaan boleh digunakan sehingga 20 April, iaitu tarikh kempen bermula bagi pilihanraya ke-13.

“Saya tidak mahu mengulas soalan berkenaan. Saya tidak tahu butiran terperinci.

“Secara umum aset kerajaan tidak boleh digunakan untuk berkempen. Tapi kempen belum bermula lagi.

“Ia hanya bermula selepas penamaan calon. Sekarang tiada kempen. Kerajaan Sementara (caretaker government) boleh lakukan apa yang tertakluk di bawah undang-undang.

“Kempen hanya bermula pada 20 April,” jawabnya ringkas apabila ditanya mengenai penggunaan aset kerajaan oleh Kerajaan sementara Umno-BN selepas tarikh pembubaran parlimen pada 3 April.

Pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini berikrar untuk memulangkan kenderaan kerajaan negeri dan tidak akan menggunakan aset kerajaan negeri untuk tujuan kempen pilihanraya.

Tindakan tersebut merupakan antara prinsip kod etika kerajaan sementara PR.

Sehingga kini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno-BN enggan mengikuti langkah tersebut malah didakwa telah melanggar etika kerajaan sementara apabila mengumumkan projek mega dan perbelanjaan dana awam yang baru.

Abdul Aziz berkata tempoh berkempen hanya bermula selepas penamaan calon pada 20 April dan berakhir pada 12.00 tengah malam, 4 Mei 2013.

SPR turut mengingatkan semua parti politik menjaga ahli masing-masing dalam tempoh berkempen bagi memastikan kelancaran perjalanan PRU-13.

PRU-13 yang bakal diadakan pada 5 Mei menyaksikan perebutan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun oleh dua kuasa besar politik Malaysia, Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.