Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Gembira Sekolah Aliran Agama Semakin Diterima Masyarakat

DYMM rasmi Sek Men Agama Bestari USJ5 Subang Jaya 02

SUBANG JAYA, 4 APRIL : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kegembiraan apabila bilangan masyarakat Islam yang menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama semakin meningkat.

Baginda bertitah, permintaan yang semakin tinggi saban tahun itu jelas menunjukkan bahawa sekolah aliran agama mula mendapat kepercayaan daripada masyarakat di negeri ini.

Titah baginda, sekolah aliran agama bukan sahaja bakal melahirkan pelajar Islam yang berdedikasi dan berhemah tinggi bagi memartabatkan agama Islam, malah kelak akan memenuhi permintaan institusi pengajian tinggi Islam yang terdapat di negara ini.

“Beta difahamkan sekolah-sekolah beraliran agama di negeri Selangor ini dari segi pengurusan dan pentadbiranya semakin mantap.

DYMM rasmi Sek Men Agama Bestari USJ5 Subang Jaya 01“Malah guru-gurunya juga menikmati peluang perjawatan serta bantuan pembangunan kurikulum dan ko-kurikulum yang berjalan lancar serta program pembangunan murid yang semakin baik,” titah baginda semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Bestari (Sambest), di sini pagi tadi.

Penubuhan Sambest yang dirancang oleh Bahagian Pendidikan dan Pelajaran Jabatan Agama Islam (Jais) bertujuan memantapkan sistem pendidikan yang menawarkan jurusan sains tulen dan sains teknikal sebagai kurikulumnya.

Sekolah ini mula beroperasi sepenuhnya pada 29 Mei 1998 di kawasan seluas 37 ekar dengan jumlah guru seramai 70 orang.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Titah baginda lagi, untuk memartabatkan maruah agama, bangsa dan negara, umat Islam mestilah menguasai ilmu pengetahuan yang mampan dan mendalam dalam semua bidang, di samping mempunyai pegangan agama yang kukuh.

Menurut baginda, pendidikan Islam yang kukuh mampu melahirkan generasi Islam dan bangsa Melayu yang mempunyai akidah yang teguh serta mulia akhlaknya.

“Selain daripada pelajaran agama Islam, pelajaran ilmu sejarah yang mantap, tepat dan mendalam hendaklah diajar dan diberi pengetahuan kepada pelajar-pelajar di sekolah beraliran agama ini.

“Ini akan membantu melahirkan murid dan penuntut yang cemerlang di dalam akademiknya dan cintakan agama serta negara dan juga akan mempertahankan kedaulatan negara dalam apa jua cara sekalipun,” titah baginda.

Leave a Reply

Your email address will not be published.