Categories
NASIONAL SELANGOR

Tian Chua : SPR Patut Galak Rakyat Mengundi Bukan Halang

tian

SHAH ALAM, 17 APRIL : Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu Kementerian Luar Negeri menyiasat kereta luar negara yang membawa pulang rakyat Malaysia pada hari mengundi disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kenderaan berdaftar Singapura tidak mempunyai kaitan hubungan antara negara, seterusnya Kementerian tidak perlu melakukan sebarang siasatan.

Katanya, pengundi Malaysia di luar negara berhasrat balik mengundi adalah perkara yang patut digalakkan.

Namun, SPR pula menghadkan cara pengundi balik mengundi, malah memberi ‘amaran’ agar kerajaan Singapura jangan campur tangan dalam perihal Kerajaan Malaysia.

“SPR memikul tanggungjawab berat, sepatutnya menggalakkan seluruh pengundi berdaftar balik mengundi, menjayakan pilihan raya yang berdemokrasi. Namun, SPR memberi had kepada pengundi yang berada di luar negara, tidak benarkan kereta luar negara membawa pengundi balik mengundi.

“Syarikat Penerbangan Malaysia juga melancarkan pakej istimewa untuk menggalakkan mereka pulang ke tanah air untuk membuang undi pada 5 Mei depan.

“Adakah SPR bercadang melarang semua pesawat membawa pengundi balik Malaysia?” soalnya dalam kenyataan media.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan,Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meminta Kementerian Luar Negeri menyiasat kereta Singapura yang membawa pengundi balik mengundi pada hari membuang undi.

Beliau juga meminta pihak Singapura memberi perhatian terhadap perkara ini, agar kerajaan Singapura menghormati Malaysia, untuk mengelakkan berlakunya persoalan orang luar campur tangan perihal dalam kerajaan.

Penyandang Ahli Parlimen Batu itu turut menambah SPR sepatutnya memastikan Pilihan Raya Umum Ke -13 berjalan dengan lancar dan dapat dilakukan dengan demokrasi yang adil.

” Persoalan tentang orang luar campur tangan perihal dalam negeri atau tidak, bukan masalah SPR.

” SPR patut beri perhatian terhadap isu pendatang luar jadi pengundi di Sabah, atau pun pengundi hantu. Bagaimana pengundi balik mengundi, itu adalah kebebasan peribadi rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.