Categories
NASIONAL SELANGOR

Undi Pakatan Hapus Tol Lebuhraya, Undi Umno-BN Dapat Dua Lagi Lebuhraya Tol

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01

KUALA LUMPUR, 11 APR : PAS mendakwa Umno-BN telah memetrai beberapa perjanjian projek pembinaan lebuh raya baru yang disembunyikan bagi meredakan sentimen pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, kerajaan Umno-BN hampir memuktamadkan dua perjanjian untuk lebuhraya bertol walaupun projek tersebut belum diumumkan.

Dua lebuhraya tersebut adalah Damansara-Shah Alam (DASH) dan Ulu Kelang Selatan. Kedua-duanya dimiliki syarikat Prolitas yang seratus peratus milikan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Antara projek lain adalah Lebuhraya Kinrara-Damansara dan pemanjangan Lebuhraya Duta-Ulu Klang.

Maklum Dr Dzulkefly lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mengulangi pengumuman tidak menaikkan tol sehingga 2016.

Namun beliau gagal untuk menciplak tawaran Pakatan Rakyat (PR) menangani lebuhraya bertol memandangkan mereka sudah sebati dengan sistem ‘patronage’ dan ‘monopoli’ yang memperkayakan kroni berkepentingan, kata Dr Dzulkefly.

“Kenapa selepas 2016 kadar tol akan terus meningkat pada kadar lima peratus setiap tiga tahun sehingga tahun 2037? Nyata Najib tidak punya kommitmen menurunkan kos saraan hidup rakyat.

“Lebih malang lagi kerajaan Najib bercita-cita untuk meneruskan agenda penswastaan lebuhraya sebagai kaedah pembinaan lebuhraya dan merangsang sektor pembinaan,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS.

Jelasnya lagi, BN dengan bangga meletakkan Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway) dalam manifesto mereka yang akan mengenakan tol.

Walaupun faedah subsidi empat peratus telah dihapuskan setelah dilalui rundingan baru, projek ini tidak berdaya saing dan kini terpaksa diberikan suntikan RM 2.2 bilion pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus, ujar Dzulkefly lagi.

Sejajar dengan prinsip Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat kekal dengan pendirian menghapuskan tol secara berperingkat bermula dengan lebuh raya yang sudah mendapat pulangan modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published.