Categories
SELANGOR

Exco Selangor Perlu Isytihar Harta

DSC_4743

KLANG 30 MEI : Kerajaan Negeri akan mengarahkan semua Exco Selangor membuat pengsytiharan harta sebelum sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dimulakan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pengisytiharan harta tersebut melibatkan exco yang baru dilantik serta bekas Exco.

Beliau berkata, usaha tersebut adalah kesinambungan terhadap apa yang dilakukan bermula pada tahun lalu.

“Tahun lepas kita sudah ada apa yang dipanggil pengisytiharan yang mana kita akan teruskan mengikut cara yang kita buat.

“Jadi setiap penambahan aset semasa exco itu bertugas, dia akan diminta melaporkan. Ia turut termasuk exco yang lama,” katanya dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah Exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar menjelaskan pengisytiharan harta tersebut hanya melibatkan exco dan tidak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Saya ingat yang penting ialah Exco dahulu (pengisytiharan harta) kerana mereka mempunyai tugas yang dipanggil eksekutif,” katanya.

Abdul Khalid turut menyatakan upacara angkat sumpah semua Adun termasuk Speaker dan Timbalan Speaker akan diadakan pada 21 Jun depan seterusnya sidang DNS pertama pada 28 Jun.

Leave a Reply

Your email address will not be published.