Categories
NASIONAL

Kit Siang Persoal Angkat Sumpah Lima Ahli Kabinet Tidak Sah

lim-parlimen

SHAH ALAM, 20 MEI : Tindakan dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri yang menyertai mesyuarat pertama Kabinet baru pada Khamis lalu dipersoal memandangkan upacara mengangkat sumpah kelima-lima ahli kabinet itu adalah tidak sah dan terbatal.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sepatutnya kelima-lima mereka itu perlu mengangkat sumpah sebagai senator terlebih dahulu.

“Mengapa tidak Najib, atau Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengakuan terbuka mengenai kesalahan mereka memalukan Yang di Pertuan Agong.

“Kesalahan besar melibatkan perlembagaan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Mengapa ia berlaku sekarang? Apakah standard protokol telah merudum seperti mana standard kehidupan orang ramai, baik dalam pendidikan, kehakiman atau perkhidmatan awam sepanjang lima dekad lalu?

“Apa yang rakyat Malaysia jangkakan daripada Kabinet ini?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Tambah Kit Siang, beliau menjangkakan pentadbiran Najib adalah lebih cekap dengan mengambil langkah segera memastikan dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri berkenaan mengangkat sumpah sebagai Senator pada malam Jumaat itu walaupun ia dilakukan pada tengah malam.

Katanya, kesemua ahli kabinet itu perlu mengangkat sumpah sebanyak dua kali di hadapan Yang Dipertuan Agong sebelum mereka dibenarkan masuk ke pejabat Kementerian.

Namun katanya, tiada apa yang dilakukan pentadbiran Najib untuk memperbaiki kesalahan melibatkan Perlembagaan, sebaliknya beliau mempamerkan ketidakcekapan yang mengejutkan atau sikap acuh tidak acuh.

“Saya faham tiga Timbalan Menteri itu akan mengangkat sumpah sebagai Senator pada hari Selasa sementara upacara mengangkat sumpah dua lagi Menteri adalah pada awal Jun.

“Tetapi mereka terpaksa mengulangi upacara angkat sumpah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di hadapan Yang di Pertuan Agong sebelum mereka boleh masuk ke pejabat Kementerian, membuatkan mereka mengangkat sumpah dua kali untuk pejabat dan Akta Rahsia Rasmi,” katanya lagi.

Dua Menteri berkenaan adalah Datuk Paul Low dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kedua-duanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri) manakala tiga Timbalan menteri ialah Waytha Moorthy (JPM), Dr. J. Loga Bala Mohan (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).

Leave a Reply

Your email address will not be published.