Categories
NASIONAL SELANGOR

Pasangan OKU Dinafi Hak Terima BR1M 2.0

OKU BR1M borhan 30 apr 01

DENGKIL 1 MEI : Pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan dari Jenderam Hulu dekat sini tidak menerima bantuan BR1M 2.0 bernilai RM500 sepertimana dijanjikan kerajaan Umno-BN.

Menurut Kamal Abdullah, 44, berkata mereka mendapat bantuan BR1M 1.0 dan itu mengesahkan kelayakan untuk menerima bantuan sama buat kali kedua.

Beliau mendakwa, rujukan dibuat kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mendapati kuota pemberian automatik kepada golongan OKU seperti mereka telah dihapuskan.

“Saya dimaklumkan kami akan diberi BR1M 2.0 secara automatik tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Sedang BR1M 1.0 diadakan dengan majlis khas melibatkan kehadiran lebih 100 orang OKU pada Oktober tahun lalu.

“Saya rasa wujud diskriminasi dalam perkara ini,” katanya yang menyara keluarga dengan bekerja kampung.

Kamal dan isteri, Noraini Salleh, 35, sudah melaporkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Orang-Orang Buta Malaysia.

Calon PR DUN Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, pihak yang dilantik bagi pemberian BR1M 2.0 perlu bersikap adil tanpa diskriminasi.

Beliau berkata, kerajaan Umno-BN perlu melihat perkara itu secara teliti supaya tiada salah faham.

“Golongan OKU ini perlu dibantu, saya harap ketelusan dijadikan amalan dalam perkara ini.

“Jangan pula dibezakan antara penyokong dan bukan penyokong kerajaan. Itu tidak betul,” dakwanya.

Katanya, pemeriksaan mesti dilakukan sama ada golongan OKU perlu didaftarkan semula untuk menerima bantuan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.