Categories
NASIONAL

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat 01

SHAH ALAM, 11 MEI : Peningkatan sokongan kaum Melayu terhadap PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu dengan purata lebih 45 peratus membuktikan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu masih mendapat tempat di kalangan pengundi.

Purata sokongan yang diperolehi PAS daripada pengundi Melayu di Semenanjung itu berjaya menepis dakwaan Umno-BN berhubung ‘tsunami Cina’ yang mengaitkan isu perkauman.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan propaganda Umno-BN yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman nyata telah gagal dan tidak mempengaruhi rakyat.

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat Dr Mariah

Mengambil contoh di Selangor, katanya rakyat yang berada di bawah kepimpinan PR sejak lima tahun lalu tidak mengalami kerugian malah diberikan hak dan manfaat yang sama rata.

“Saya rasa di negeri Selangor, segala propaganda Umno-BN untuk menjadikan politik perkauman telah gagal.

“Apa yang kita mahu ialah kerajaan yang bersih seperti di Selangor di mana kita semua telah menikmati hasil daripada pemerintahan yang bersih.

“Sokongan masyarakat Melayu kini sudah semakin meningkat kerana propaganda Umno-BN telah memakan diri dan diketahui rakyat sebagai satu pembohongan,” katanya kepada TV Selangor.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata, kemenangan besar yang dicatatkan PR adalah atas dasar sokongan padu semua kaum terhadap gagasan itu yang mahukan perubahan.

Katanya, kebanyakan kerusi DUN yang dimenangi PAS dan PR membuktikan rakyat kini semakin bijak membuat pilihan dan menolak politik perkauman.

Sementara itu, Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berpendapat peningkatan undi PR bukanlah disebabkan tsunami Cina, tetapi ia datang daripada sokongan masyarakat bandar dan kampung tradisi.

“Memang Cina kita lihat sebahagian besarnya menyokong PR tetapi dalam masa sama kemenangan yang dikecapi adalah hasil sokongan golongan muda dan Melayu. Contohnya di DUN Sabak yang mendapat majoriti undi daripada kaum Melayu. Itu sahaja sudah jelas menangkis anggapan BN tentang tsunami Cina,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.