Categories
NASIONAL

Keadaan Sri Sanjeevan Stabil Tetapi Kritikal

Sri Sanjeevan Mywatch 01

SHAH ALAM 30 JULAI : Keadaan aktivis anti-jenayah Sri Sanjeevan Ramakrishnan, 29, yang ditembak Sabtu lalu, dilaporkan kini lebih stabil tetapi masih kritikal.

Dalam kenyataan media pada 11.20 malam semalam, bapanya, Ramakrishnan Perianan berkata anaknya yang juga Pengerusi MyWatch sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tunku Jaafar, Negeri Sembilan petang semalam.

Selain itu, bapanya juga mahu mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai anaknya itu tanpa merujuk kepada beliau atau kakak mangsa, R Maygala.

“Dalam tempoh beberapa jam yang lalu, saya mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan anak saya yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media.

“Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan.

“Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada anak saya dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang,” jelas kenyataan itu.

Sabtu lalu, dalam kejadian 4.30 petang, mangsa cedera di perut akibat ditembak seorang pembonceng motosikal ketika mangsa yang memandu kereta jenis BMW menurunkan cermin keretanya di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Beberapa jam sebelum ditembak, Sanjeevan menulis di Twitternya bahawa seorang anggota polisĀ  mengancam untuk memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula mendakwa aktivis anti-jenayah itu juga merancang untuk mendedahkan satu memo didakwa mengaitkan anggota polis dengan sindiket dadah.

Rafizi mendakwa mangsa memperolehi satu memo dalaman polis, yang menyenaraikan pengawai polis yang dikenakan siasatan dalam atas (dakwaan) terlibat dalam sindiket dadah.

Rafizi mendakwa demikian bagi mengulas mengenai pertemuannya selama 20 minit dengan Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.