Categories
SELANGOR

Graduan PTPTN dihukum lagi dengan CCRIS

PTPTN

SHAH ALAM 20 OGOS : Kerajaan digesa untuk memikirkan mekanisme yang lebih baik untuk membantu mahasiswa dan graduan yang dibelenggu dengan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukannya terus menerus menghukum mereka dengan pelbagai bebanan dan tekanan.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata pengumuman Menteri Pendidikan II, Datuk Idris Jusoh, untuk menyenaraikan peminjam PTPTN ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) akan terus membebankan mahasiswa.

“Tindakan PTPTN itu seumpama ‘Along berlesen’ kerana kerajaan tidak seharusnya menambahkan lagi beban mahasiswa,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Kata beliau, kerajaan perlu mempertimbangkan nasib golongan graduan yang masih tidak mempunyai kerja sesuai dan bekerja separuh masa apabila berhadapan kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman.

“Hasrat kerajaan terbaru ini bertentangan dengan kenyataan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang akan memperjuangkan isu kebangkrapan dihadapi oleh golongan muda.

“Jadi mengapa Menteri Pendidikan II, Idris Jusuh ini tidak memikirkan kebajikan untuk anak muda jadi golongan mahasiswa akan menemui Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat ” kata beliau.

Katanya lagi, beliau berharap Belanjawan 2014 yang akan diumumkan Perdana Menteri nanti kerajaan perlu mempunyai jalan penyelesaian yang lebih baik bagi membela kebajikan golongan mahasiswa dan graduan.- MZA

Leave a Reply

Your email address will not be published.