Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB bantu eratkan Kerajaan Negeri dengan swasta

PNSB

SHAH ALAM 29 OKT: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjaya memainkan peranannya dengan berkesan dalam mewujudkan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dengan sektor korporat khususnya pihak swasta di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu membantu Kerajaan Negeri dalam meningkatkan sumber pendapatan negeri demi kebaikan rakyat.

“Tumpuan kerajaan negeri bukan hanya membantu meningkatkan pendapatan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri membantu memajukan Selangor,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi di Majlis Makan Malam sempena Pertandingan Golf Persahabatan anjuran PNSB baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata, melalui peranan yang dimainkan PNSB, Kerajaan Negeri dapat mendekati sektor swasta dengan lebih berkesan.

“Kejayaan PNSB membantu Kerajaan Negeri melalui pertandingan begini merupakan laluan terbaik bagi membolehkan sektor swasta menyumbang ke arah meningkatkan aset Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Abdul Khalid berkata, selain membawa masej ketelusan dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri turut digalakkan mengambil peluang bagi meningkatkan imej serta membantu Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Pertandingan Golf Persahabatan yang dianjurkan PNSB buat kali keempat ini melibatkan Pejabat-pejabat Daerah di Selangor dan sektor swasta.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.