SPRM gagal selesai 99.3 peratus kes rasuah walaupun berbelanja RM1 bilion

sprm rasuahKUALA LUMPUR 23 OKT : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih gagal menyelesaikan kira-kira 99.3 peratus kes rasuah walaupun menerima peruntukan hampir RM1 bilion, sejak tahun 2009.

Ahli Parlimen Kampar, Ko Chung Sen, berkata berdasarkan kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, hanya 75 peratus atau 1274 kes disabit kesalahan berbanding 1692 kes yang didakwa sejak 2009 hingga Jun lalu.

Katanya, walaupun terdapat peningkatan terhadap peruntukan dan kakitangan SPRM, namun jumlah kes yang didakwa dan disabit adalah menurun dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Perkara ini tidak menjadi masalah sekiranya tidak berlaku kes rasuah di Malaysia. Bagaimanapun, Malaysia dikenalpasti sebagai salah sebuah negara yang mengalami korupsi tinggi berdasarkan laporan Wall Street Journal (Disember 2012) dan Earnest and Young, pada September lalu,” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, pagi tadi.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga gagal menghapuskan kes rasuah di Malaysia walaupun berjanji untuk melakukannya ketika berucap di Kelab Komanwe, San Fransisco, Amerika Syarikat, September lalu.

“Mengurangkan rasuah adalah salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan pada Januari 2012.

“Beliau berjanji akan menjadikan rasuah sebagai satu perkara ‘yang lalu’ di Malaysia,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.