Categories
SELANGOR

200 pemilik bot dan nelayan di Sekinchan mogok

sekinchanSHAH ALAM : Kira-kira 200 pemilik bot dan nelayan di Sekinchan terus melancarkan mogok untuk tidak turun ke laut sebagai bantahan terhadap penguatkuasaan baru yang dikenakan ke atas mereka, sejak 1 November lalu.

Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengharamkan penggunaan bot pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38 milimeter (mm) bagi menyelamatkan spesies marin dan benih ikan, selain pukat juga dipendek serta diperkecilkan dengan ukuran tertentu.

Sebelum ini, pengunaan yang itetapkan adalah saiz mata keroncong pukat tunda mestilah melebihi ukuran 38 mm mengikut Akta Perikanan 1985, sejak dua tahun lalu.

Selain itu, MOA juga mengharamkan Bot Zon B membabitkan lima batu nautika menggunakan khidmat warga asing sebagai pekerja dan hanya dibenarkan kepada bot Zon C (12 batu nautika atau lebih)

Penasihat Persatuan Nelayan Sekinchan, Chia Tian Hee, mendakwa penguatkuasaan pukat spesifikasi baru itu memberi kesan terhadap hasil tangkap, sekali gus menjejaskan mata pencarian nelayan.

“Sejak guna pukat saiz mata besar ini, ramai nelayan mengadu pendapatan mereka merosot hampir 60 peratus berbanding sebelum ini,” katanya.

Chia yang dihubungi Selangor Kini berkata, hampir 250 pemilik bot dan nelayan membabitkan 170 bot Zon B dan 40 bot Zon C sekitar Sekinchan mengambil keputusan untuk tidak ke laut.

“Sejak peraturan ini dikuatkuasa, boleh dikatakan hampir 90 peratus nelayan di kawasan ini tidak turun ke laut. Hanya sebahagian kecil yang masih ke laut, itu pun hanya tinggal lima peratus kerana kebanyakan mereka rasa kos dan kerja tidak berbaloi,” katanya.

Chia turut mengakui pergantungan kepada warga asing dalam semua sektor bukan suatu pilihan yang terbaik, namun penguatkuasaannya kepada sektor perikanan akan memberi kesan negatif kepada pengusaha sektor itu.

“Untuk dapat tenaga kerja tempatan ke laut, terutama di kalangan anak muda bukan semudah yang difikirkan. Mereka lebih gemar bekerja di bandar dan kilang. Kos menggajikan warga tempatan sudah tentu lebih besar berbanding warga asing dan dengan hasil tangkapan yang semakin merosot, bagaimana pengusaha sektor ini mampu bertahan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.