Categories
SELANGOR

EKSKLUSIF SIRI 2 : Polis akui Selangor ‘destinasi’ utama jenayah

jenayahSHAH ALAM 6 NOV : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui Selangor menjadi pilihan sebagai ‘destinasi’ utama kegiatan jenayah seperti kes tembakan dan gejala sosial lain yang dipercayai berpunca daripada kepadatan penduduk.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata rakyat negeri itu terdiri daripada pelbagai kaum dan warganegara asing yang sering berkunjung atas pelbagai urusan, yang mana ada di kalangan mereka didapati mengambil kesempatan melakukan jenayah.

Katanya, indeks jenayah  di Malaysia juga secara keseluruhannya banyak dipengaruhi kejadian di Selangor dengan kadar kira-kira 40 peratus.

“Kebiasaannya, indeks jenayah  di Malaysia bergantung kepada kadar di Selangor kerana negeri ini termasuk di kawasan Lembah Klang. Walaupun terdapat peningkatan kes jenayah sebanyak lima peratus sehingga Ogos lalu, namun polis Selangor berjaya mengurangkannya kepada enam peratus,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Shukri berkata, tidak adil bagi sesetengah pihak untuk membuat dakwaan bahawa polis gagal menjalankan tugas dengan baik dalam menangani kes berkenaan, namun beliau tidak menafikan bahawa jenayah di Selangor membimbangkan dan pihaknya sentiasa berusaha memantau serta menangani masalah itu secara agresif.

“Tidak bermakna jika Selangor penuh dengan cerita jenayah, maka orang ramai menganggap polis tidak membuat kerja. Kita tidak nafikan jenayah di Selangor perlu ditangani secara agresif, tetapi polis sentiasa menggerakkan anggota kami dan berusaha mengurangkan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di negeri ini secara holistik,” katanya.

Beliau berkata, OPS Cantas Khas dan sekatan jalan raya yang sering diadakan di beberapa kawasan tumpuan di negeri itu berjaya mengurangkan kadar jenayah kepada empat hingga enam peratus sehingga awal bulan ini.

“Usaha ini akan diteruskan polis Selangor sebagai salah satu pendekatan membanteras jenayah, selain memantapkan strategi bagi memastikan keadaan dan keselamatan rakyat kembali terkawal.

“Selain itu, tidak dinafikan pemansuhan dua undang-undang iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) juga memberi kesan kepada peningkatan jenayah di negara ini.

Katanya, pelaksanaan kedua-dua undang-undang tanpa bicara itu berkesan untuk menghalang penjenayah daripada melakukan kesalahan kerana mereka diletakkan di dalam kem tahanan dalam tempoh tertentu.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Selangor mencatatkan indeks jenayah tertinggi berbanding negeri lain membabitkan jumlah 32,348 kes sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, kes curi motosikal menunjukkan kekerapan tertinggi dengan 9,698 kes, diikuti kes pecah rumah dan curi (5,682), samun berkumpulan tanpa senjata api (4,583) dan curi motokar (4,370), manakala 293 kes rogol dicatatkan, kes bunuh (124), ragut (698) serta mencederakan (868).

Kedudukan jenayah di Selangor juga dicatatkan sebagai tertinggi sejak lima tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2008 (57,752 kes), 2009 (54,994), 2010 (49,469), 2011 (44,302) dan 2012 (40,629).

Selain itu, Selangor mempunyai kes kesalahan narkotik paling tinggi dengan 18,602 tangkapan, manakala 18,063 sudah ada dalam kes polis membabitkan kes pengedaran, pemilikan, penyalahgunaan dan penagihan dadah, selain kekal di tangga teratas mencatatkan kira-kira 15 kes kematian berpunca daripada tembakan, bermula Januari hingga September lalu.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.