Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat perlu nyata pendirian sertai TPPA

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 15 NOV : Kerajaan pusat didesak menyatakan pendirian berhubung keputusan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ekoran media ekonomi antarabangsa mengeluarkan kenyataan Malaysia bersetuju menandatangani TPPA, Disember ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata perkara itu menjadi tanda tanya kepada rakyat yang bimbang dengan kesan perjanjian itu.

charles parlimen 01Katanya, kerajaan pusat sebelum ini menyatakan belum membuat keputusan dalam sidang Parlimen, namun sudah dilaporkan dalam media antarabangsa.

“Ini yang saya tidak faham dan menjadi tanda tanya kepada semua rakyat. Saya hairan kerajaan cakap belum buat keputusan tetapi berita sudah keluar,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Charles berkata, ekonomi bumiputera akan terjejas selepas lima tahun TPPA ditandatangani ekoran kesan perjanjian itu kerana syarikat lain dari luar negara boleh meminta Malaysia membuka syarikat berkenaan kerajaan (GLC) kepada pasaran luar.

“Sebuah majalah perniagaan di Vietnam iaitu Vietnam Briefing melaporkan Malaysia bersama negara itu, Peru dan Brunei bersepakat untuk menerima tempoh bertenang selama lima tahun untuk menambahbaik dasar membabitkan syarikat GLC.

“Laporan itu juga menyatakan semua negara terbabit akan diberikan tempoh pengecualian selama lima tahun untuk mereformasi dasar GLC.

“Jika ia dibuka, akan menjadi satu masalah besar kepada ekonomi negara kerana GLC adalah nadi ekonomi Malaysia dan mempengaruhi penyertaan golongan bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, laman Wikileaks juga mendedahkan satu bab kontroversi di dalam perjanjian itu berkenaan dengan hak milik intelek, semalam.

“Ia berkait dengan kenaikan harga ubat kerana TPPA dan perlaksanaan GST. Jika kita baca, harga ubat naik bagi negara yang menyertai TPPA dan ini akan menjadi masalah kepada rakyat Malaysia khususnya golongan miskin sederhana sederhana,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.