Categories
NASIONAL

Peguam Negara ‘double standard’ kes PKFZ, Altantuya

PKFZ3Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 9 NOV : Keengganan kerajaan pusat memfailkan rayuan terhadap kes berprofil tinggi membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disifatkan ‘double standard’.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran berkata, tindakan itu juga dilihat sebagai pilih kasih dan membuktikan sistem perundangan negara tidak bebas dan mempunyai integriti.

Katanya, kegagalan Peguam Negara dalam kes seperti itu menyebabkan masyarakat hilang keyakinan bukan sahaja terhadap kerajaan pusat, tetapi institusi Peguam Negara, polis dan mahkamah serta menjejaskan reputasi negara untuk menarik pelabur.

“Perkara ini serius dan saya terkejut apabila Peguam Negara enggan membuat rayuan dan perkara sama turut terjadi dalam kes Altantuya. Kita boleh lihat dengan jelas Peguam Negara pilih kasih dalam membuat rayuan dalam kes berprofil tinggi,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Surendran turut memberikan contoh ‘double standard’ dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila Peguam Negara berusaha untuk memenjarakan Anwar apabila membuat rayuan dan turut membawa masuk Datuk Shafei Abdullah sebagai pendakwa walaupun kes terbabit tidak mempunyai asas serta ditolak Hakim Mahkamah Tinggi.

“Tetapi dalam kes PKFZ dan Altantuya, pihak pendakwa tidak begitu minat. Ini menunjukkan ‘double standard’ berlaku apabila intitusi Peguam Negara dan sistem perundangan kita tidak bebas dan mempunyai integriti, selain memperlihatkan pendakwaan terhadap Anwar bermotifkan politik,” katanya.

Semalam, Timbalan Peguamcara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Malaysiakini mengesahkan Pejabat Peguam Negara tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam kes penipuan PKFZ.

Liong Sik didakwa menyebabkan Kabinet meluluskan pembelian tanah yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan apabila projek PKFZ dianggarkan berharga RM1.1 bilion selepas dimulakan pada tahun 1997, namun menjadi empat kali ganda iaitu RM4.6 bilion, pada tahun 2007.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.