Categories
SELANGOR

Pembangunan ekonomi Malaysia perlu bebas dan adil

mb tppaSHAH ALAM 8 NOV : Pembangunan ekonomi Malaysia dilihat masih memerlukan pelaburan dan perdagangan antarabangsa, namun pelaksanaannya harus dilakukan secara bebas serta adil.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lebih 60 peratus peluang ekonomi masih bergantung kepada perdagangan antarabangsa ekoran pasaran dalaman negara yang kecil sejak ekonomi Malaysia mula berkembang hingga kini.

Katanya, hal itu dilihat merujuk kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini dalam proses rundingan kerajaan pusat.

“Setiap orang mesti terima hakikat dan setuju bahawa kita tidak boleh lari daripada membuat hubungan dagangan antarabangsa dan rasanya tidak ada siapa menghalang.

“Namun, perlu diingatkan walaupun diterima tetapi pihak bertanggungjawab harus memastikan bahawa perjanjian perdagangan yang ditandatangani itu adil kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri, syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di majlis Taklimat TPPA yang diadakan di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Sesi taklimat TPPA itu disampaikan tiga ahli panel khas iaitu Profesor Gus Van Harten (Kanada), Pablo Solon (Bolivia) dan Cecilia Olivet (Uruguay), selain turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Mengulas mengenai TPPA, Abdul Khalid berkata, perjanjian yang bakal ditandatangani Kerajaan Pusat pada awal tahun depan itu juga mampu memberi impak kepada kerajaan negeri.

“Contohnya, jika TPPA menyatakan pemberian kontrak harus terbuka kepada semua termasuk syarikat multinasional, namun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula bertindak memberi peluang kepada pengusaha bumiputera atas nama ingin membantu masyarakat, kita boleh disaman.

“Mereka boleh bawa Selangor ke mahkamah kerana tidak mematuhi syarat yang tertulis dalam perjanjian dan kita juga berpeluang untuk disaman dan bakal menyebabkan rakyat rugi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berharap taklimat yang diadakan itu memberi pengetahuan kepada orang ramai dalam memahami kesan TPPA, selain meminta kerajaan Ppsat dapat membuat keputusan yang menguntungkan rakyat. -NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.