Categories
NASIONAL

A Samad Said: Sastera dan seni patut bergerak di jalanan

SHAH ALAM 29 DIS: Sastera dan seni harus digerakkan di jalanan untuk menyedarkan masyarakat tentang sesuatu perkara, bukan hanya dipersembahkan di atas pentas dan di dalam buku.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, berkata seni sangat membantu dalam penyampaian sesuatu kisah benar untuk tatapan generasi ke generasi,

“Sastera memang benar harus berwawasan tapi lebih besar kalau ia boleh merubah, sastera tidak lagi dalam buku, dan sastera tidak lagi di hadapan mikrofon dan sastera juga tidak harus hanya bergerak di atas pentas.

“Sastera sekarang harus berada di tengah jalan raya,” kata Samad Said dipetik dari Harakah Daily.

Beliau berkata demikian ketika diminta berucap di majlis Makan Malam dan Santai Seni anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) di Alang Sedayu, Gombak baru-baru ini.

Beliau juga berpesan kepada generasi muda agar menjadikan seni dan sastera sebagai medium bersifat mengubah dan menggerakkan.

himpunan suara rakyat kelana jaya A Samad Said 01“Kalau anda mahu terus menerus menjadi mangsa saya tidak boleh halang. Kalau anda mahu merubahnya saya merelakan,” katanya.

Beliau berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk bersuara bagi mengubah demokrasi yang disifatkan sebagai semakin tidak luhur.

“Jika ada orang bertanya saya, Pak, buat apalah bapak ada di jalan raya (sedangkan) kita sudah memilih orang yang kita wakilkan untuk menjaga tanah air.

“Saya cakap, menurut Ahmad Boestamam, kuasawan hanya kuasa. Kuasa boleh digerakkan tapi kuasa juga harus berpihak.

puisi jadi senjata“Dan kita berada dalam situasi yang sangat getir sekarang ini apabila walaupun kita menerima demokrasi kita sebenarnya tidak meluhurkan demokrasi.

“Buat apalah orang tua 81 tahun seperti saya harus bersusah payah berada di jalan raya untuk PPSMI, untuk Bersih 2 dan 3, buat apalah?

“Tapi saya fikir bahawasanya bila tak buat apa-apa kita tidak mengubah apa-apa,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.